Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan mendakwa orang Melayu dipermain serta ditipu secara terang-terangan.
Adun Seri Delima itu menyifatkan kenyataan Abdul Hadi yang dilaporkan beberapa portal berita itu sebagai fitnah jenayah dan boleh menimbulkan hasutan yang bahaya kepada kaum Melayu, serta berpotensi mengapi-apikan golongan kaum tertentu di negara ini.
“Dalam laporan berita tersebut, Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang juga ahli parlimen Marang telah membuat dakwaan-dakwaan liar dan tidak berasas terhadap orang Melayu di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Susulan ini, saya berpendapat bahawa kenyataan-kenyataan Presiden PAS ini merupakan satu fitnah jenayah (criminal defamation) terhadap kaum Melayu, hasutan yang amat berbahaya kepada kaum Melayu yang boleh mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum yang lain serta berunsur perkauman yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam serta mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa di negara kita yang harmoni, aman dan damai,” katanya.
Dia meminta supaya pihak polis menyiasat Hadi dibawah Seksyen 499, 505(c) Akta Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana telah berulang kali membuat kenyataan yang berbaur perkauman.
Pada Selasa lalu, Abdul Hadi mengulangi gesaan agar orang Melayu bersatu dan mengatakan kaum itu ditipu secara terbuka.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa orang Melayu telah kehilangan kuasa politik kerana ditipu akibat kejahilan dan kelalaian mereka.
Abdul Hadi juga menyelar orang Melayu yang bekerja dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu yang didakwanya sebagai “penyakau”.
Kenyataan itu menyebabkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa laporan polis secara beramai-ramai dibuat terhadap Abdul Hadi bagi menamatkan “politik pecah belah, pelampau dan perkauman.”
Selain Syerleena, seorang lagi pemimpin DAP, Lim Lip Eng turut membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi.