Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akibat tidak hormat senior, pelajar tingkatan tiga cedera dipukul

Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati dicedera di muka dan leher akibat dipukul sekumpulan pelajar tingkatan lima dalam kejadian di Litar Motorcross Bukit Mar Mar Kemensah pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian disyaki berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa yang dikatakan tidak menghormati kumpulan pelajar lelaki tingkatan lima berkenaan.

Katanya, kejadian itu bermula di tangga sekolah pada 9.30 pagi hari yang sama apabila mangsa ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan tendang bahagian belakang badan oleh seorang pelajar tingkatan lima yang dikenalinya.

"Pada kira-kira pukul 3 petang, mangsa telah diajak oleh lima pelajar tingkatan lima ke Bukit Mar Mar sebelum dipukul.

"Di sana, mangsa dipukul oleh kumpulan pelajar itu malah, seorang daripada suspek turut menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali dan dilihat oleh 15 lagi rakan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata semua yang terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Tiga video kejadian yang menunjukkan mangsa hanya mampu terbaring dan cuba melindungi diri daripada dipukul kumpulan pelajar berkenaan di kepala dan badan tular sejak semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS