Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asean seru elak sebarang pertikaian di Laut China Selatan

Negara-negara Asia Tenggara pada Khamis menyeru agar pihak-pihak terlibat mengelakkan sebarang pertikaian di Laut China Selatan agar menjadi "lautan keamanan" lapor Anadolu.

Pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) membuat gesaan itu ketika perbincangan mengenai Laut China Selatan bersempena Sidang Kemuncak Asean ke-42 di Labuan Bajo.

Beberapa anggota Asean menyuarakan kebimbangan terhadap pertikaian dan insiden serius di kawasan itu, termasuk kerosakan terhadap kehidupan marin, "yang telah menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan dan boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini."

"Kami menegaskan kembali keperluan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, mengamalkan kawalan diri dalam menjalankan aktiviti yang akan merumitkan atau meningkatkan pertikaian yang menjejaskan keamanan dan kestabilan, serta mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan," menurut Asean dalam satu kenyataan.

Pada 2016, Filipina memenangi kes di Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague yang membatalkan tuntutan perluasan Laut China Selatan China.

Kapal perang dan jet pejuang milik AS seringkali dilihat di perairan Laut China Selatan yang disifatkan Washington sebagai "kebebasan pelayaran," bagaimanapun Beijing berulang kali mengecam tindakan itu sebagai pencabulan keutuhan wilayahnya.

Pemimpin Asean pada Khamis "menegaskan keperluan untuk meneruskan penyelesaian pertikaian secara aman mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk UNCLOS 1982."

Blok 10 negara anggota itu turut menggesa agar Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dipatuhi.

DoC ialah perjanjian mengenai Laut China Selatan yang ditandatangani oleh Asean dan China pada November 2002, menandakan penerimaan pertama China terhadap perjanjian pelbagai hala mengenai isu terbabit.

Menegaskan semula kepentingan mengekalkan dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan, keselamatan, dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, para pemimpin Asean "mengiktiraf faedah menjadikan Laut China Selatan sebagai lautan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran."

"Kami menggariskan kepentingan pelaksanaan penuh dan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) secara keseluruhannya,” kata para pemimpin itu, serta mengalu-alukan “usaha berterusan bagi mengukuhkan kerjasama antara Asean dan China."

Kenyataan itu juga menyatakan kemajuan "rundingan substantif ke arah kesimpulan awal Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan yang konsisten dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982."

-Bernama- Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS