Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kisah Wu Sangui - pengkhianat negara  

Satu pengkhianatan yang sangat terkenal dalam sejarah China dilakukan oleh Wu Sangui, seorang jeneral dinasti Ming yang membuka pintu Tembok Besar untuk membenarkan penceroboh Manchu masuk pada tahun 1644. 

Keputusan Wu Sangui didorong oleh dendam peribadinya yang mengakibatkan kemusnahan dinasti Ming dan digantikan dengan dinasti Qing oleh penjajah Manchu. 

Kisah Wu Sangui boleh dilihat sebagai kisah peringatan untuk politik moden di Malaysia, yang pengkhianatan dan pembelotan menjadi sebahagian daripada krisis politik semenjak pembentukan negara. 

Contoh paling klasik ialah pada 2020 adalah Langkah Sheraton, apabila sekumpulan ahli parlimen yang diketuai Muhyiddin Yassin menarik balik sokongan mereka daripada gabungan Pakatan Harapan yang memerintah dan membentuk kerajaan baharu dengan pembangkang.

Langkah ini dilihat secara meluas sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat dan rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi. 

‘Kerajaan Abah’ menghadapi kritikan, terutamanya semasa pengendalian wabak Covid-19 dan akhirnya tumbang pada 2021 dan diganti pula oleh Ismail Sabri Yaakob yang juga tidak lama memerintah.

Krisis politik Malaysia bergolak sejak 2020 dengan penabalan empat perdana menteri dalam tempoh lima tahun. 

Rakyat Malaysia mula lesu berdepan dengan agenda politik. 

Meskipun Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani adalah stabil dengan restu Yang di-Pertuan Agong, masih ada lagi usaha jahat berterusan untuk melemahkan dan merosakkan kredibiliti kepimpinan Anwar Ibrahim. 

Terdapat khabar angin bahawa 10 atau 15 ahli Parlimen yang akan meletak jawatan dalam masa terdekat untuk menggugat kestabilan kerajaan.

Propaganda itu juga bertujuan mengurangkan keyakinan orang ramai kepada pentadbiran Anwar dan bertujuan untuk menimbulkan huru-hura dalam PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Media sosial dan internet memperkasakan kebebasan maklumat, namun harus berwaspada pada penipuan ‘doktor dukun’ dan ‘tukang karut’ yang mendakwah bahawa satu pembentukan Malaysia alternatif baru. 

Proklamasi Melayu 

Kebelakangan ini, berita Proklamasi Melayu mengundang kecurigaan dan rakyat marhaen mula menyindir “orang yang sama lagi”.

Saya percaya, Malaysia mempunyai pucuk pimpinan yang ideal, dengan barisan wakil rakyat yang kelayakan yang cukup baik. 

Mereka bagaikan adiwira dalam filem dengan kemampuan luar biasa, tetapi masih tidak mampu membentuk pasukan seperti Justice League atau Avengers.

Di masa yang bergolak inilah wakil rakyat harus mengulangi ikrar kesetiaan kepada perdana menteri dan sepatutnya telah mula berkhidmat untuk pengundi kawasan masing-masing. 

Tidak dinafikan, sebagai penggubal undang di dewan undangan negeri atau parlimen, wakil rakyat memerlukan pengalaman dan kelayakan yang menyeluruh.

Bagaimanapun, sejarah moden membuktikan bukan senang mendapatkan pemimpin yang mampu menyantuni penduduk. 

Pemimpin berpandangan jauh, sering merancang misi besar untuk “mencapai matahari dan bintang”, namun apa yang penting untuk pengundi kawasan sebenarnya adalah isu komuniti yang remeh temeh di halaman mereka sendiri.

Menjadi wakil rakyat sedikit pun tidak memberi keistimewaan – malah ia adalah satu beban kerana mereka dikehendaki bergerak dengan lebih jauh dan pantas untuk menyelesaikan masalah penduduk. 

Oleh itu, selain menjadi penggubal undang-undang, turun padang sebenarnya satu pengukur tanda aras.

Sekiranya gagal, jelas ia akan mengikis kepercayaan kepada parti serta institusi demokrasi yang dihormati. 

Jangan lupa, rakyat hari ini menjadi lebih sinis dan mereka sentiasa tahu (bila, bagaimana, di mana) untuk melontarkan isu yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.

Pengajaran daripada Wu Sangui adalah, oportunis politik boleh menjadi ‘senjata makan tuan sendiri’. 

Wu dalam pentadbiran dinasti baru sentiasa mencari jalan pintas dengan mengorbankan orang lain demi kepentingan sendiri. 

Dalam saat-saat kehidupan akhirnya, Wu melancarkan pemberontakan terhadap Dinasti Qing tetapi gagal.

Dalam sejarah purba China, Wu Sangui dikenali dalam sejarah sebagai pengkhianat terulung. 

Wu membenarkan musuh penjajah masuk, dan terus kekal sehingga sejarah berulang dengan pertukaran rejim pada 1911 melalui peristiwa ‘Kebangkitan Wuchang’. 

Ironinya, pemberontakan ini adalah gerakan ‘reformasi’ yang dimulakan oleh pelajar dan pekerja kereta api.

Oleh itu, jangan sekali-kali ada Wu Sangui di kalangan kita.

Sejarah tidak pernah menipu.


ANDRE LAI ialah ketua bahagian PKR Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS