Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti itu.
Menterinya, Khaled Nordin, berkata tindakan perlu diambil termasuk mengenal pasti pelaku.
"Saya sudah meminta pihak pengurusan mengambil tindakan bukan saja mengatasinya tetapi supaya perkara ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini.
Menurut Khaled, kerajaan akan bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam program keselamatan siber.
"Kita sekarang berada di zaman teknologi maklumat dan data, ia termasuk dalam soal keselamatan siber," katanya
Semalam, UiTM memohon maaf atas kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti berkenaan.
UiTM mengesahkan pautan kepada senarai sebanyak 11,891 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon itu tidak lagi aktif kerana kemas kini sudah dilakukan.
Ia susulan seorang pengguna Twitter mendakwa UiTM menyiarkan nombor MyKad dan e-mel pemohon terbabit di internet.
Maklumat nombor kad pengenalan dan alamat e-melnya turut didapati dalam senarai berkenaan.
UiTM juga meminta pengadu menghubungi pihak universiti itu bagi memberikan maklumat lanjut.
Pada 2019, portal forum teknologi lowyat.net melaporkan sejumlah 1,164,540 rekod, milik pelajar yang mendaftar untuk pelbagai kursus di UiTM antara 2000 dan 2018, telah dibocorkan dalam talian.
Data yang bocor itu didakwa termasuk rekod terperinci pelajar dari kampus induk UiTM di Shah Alam, serta daripada 13 kampus negerinya di seluruh negara.