Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membuat laporan polis terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang susulan kenyataan yang mendakwa orang Melayu dipermain serta ditipu secara terang-terangan kerana jahil dan lalai.
Laporan polis itu dibuat sehari selepas pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa laporan dibuat terhadap Abdul Hadi mengenai perkara itu.
Dalam laporan yang turut dihantar kepada media, Lip Eng menggesa polis menyiasat ahli parlimen Marang itu di bawah beberapa akta yang berkaitan.
“Saya minta keseluruhan kenyataan beliau (Hadi) tersebut itu disiasat di bawah Seksyen 499, 504, 505 (b), 505 (c) Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan akta-akta lain yang berkaitan,” menurut laporan itu.
Pada Selasa lalu, Abdul Hadi mengulangi gesaan agar orang Melayu bersatu dan mengatakan kaum itu ditipu secara terbuka.
Dia juga mendakwa orang Melayu telah kehilangan kuasa politik dan ditipu kerana kejahilan mereka.
Abdul Hadi juga menyelar orang Melayu yang bekerja dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu yang didakwanya sebagai “penyakau”.
Kenyataan itu menyebabkan Guan Eng menggesa laporan polis secara beramai-ramai dibuat terhadap Abdul Hadi bagi menamatkan “politik pecah belah, pelampau dan perkauman.”