Masalah bekalan air bersih di Kelantan tidak boleh diatasi hanya dengan peruntukan semata-mata kerana ada faktor lain yang lebih utama perlu ditangani.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad juga berkata faktor itu turut diakui menteri kerajaan terdahulu, Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Soal peruntukan memang menjadi sebahagian isu namun perkara utama adalah masalah tadbir urus yang gagal.
“Sebab itu soal peruntukan kita boleh bincang namun jika pengurusan dan tadbir urus AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd) tidak selesai, bagilah duit macam mana pun, masalah air di Kelantan tidak akan selesai,” katanya.
Nik Nazmi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog awam Malaysia Madani di UiTM Machang, Kelantan, hari ini.
Terdahulu dia ditanya mengenai kemelut bekalan air bersih di Kelantan yang belum dapat diatasi sejak sekian lama dan kerajaan negeri sering mengaitkannya dengan masalah peruntukan dari Putrajaya.
Katanya berdasarkan kedaaan itu Putrajaya akan melihat komitmen yang ditunjukkan kerajaan Kelantan bagi membolehkan bantuan sewajarnya disalurkan.
“Jika nak kata soal air tidak mencukupi di Kelantan, sebenarnya permintaan air di Kelantan tidak tinggi sebagaimana negeri lain,” jelasnya.
Masalah bekalan air di negeri antara perkara yang sering dibangkitkan sejak puluhan tahun lalu, malah pimpinan kerajaan Kelantan sebelum ini memaklumkan peruntukan berjumlah RM7 bilion diperlukan bagi mengatasinya.
Sementara itu situasi permasalahan air di negeri Kelantan antara lain boleh digambarkan kejadian terkini yang dihadapi penduduk di Rantau Panjang sejak bulan lepas.
Ia memaksa anggota parlimennya Siti Zailah Mohd Yusoff mengambil air dari pili bomba untuk diagihkan kepada penduduk selain mengusahakan telaga tiub.