Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Musuh tidak senang dengan kedudukan Umno sekarang
Diterbitkan:  May 11, 2023 1:32 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Umno terus diasak oleh ‘musuh’ yang tidak senang dengan kedudukan parti itu sekarang, kata Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata musuh Umno mengetepikan agenda kestabilan negara, sebaliknya menyemai kebencian dan dendam kesumat.

"Dapat dilihat musuh Umno terus cuba membina propaganda negatif kerana tidak senang dengan kedudukan Umno sekarang.

"Musuh tersebut terus ghairah menanamkan perasaan benci dan prejudis yang melampau dalam pemikiran rakyat terutamanya anak-anak muda kita yang baru sahaja bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.

"Permainan persepsi ini diasak-asak sepanjang masa sehingga membentuk satu realiti yang merbahaya di dalam pemikiran dan kehidupan rakyat," katanya pada satu kenyataan sempena sambutan ulangtahun Umno ke-77 hari ini.

Tanpa menyebut nama, Zahid berkata tindakan musuh itu menolak masyarakat jauh ke belakang daripada usaha memajukan negara dalam mendepani cabaran abad ke-21.

"Dan yang menerima kesan terburuk adalah anak-anak muda kita sendiri. Bayangkan pelapis-pelapis negara kita memulakan political journey (perjalanan politik) mereka melalui lensa perkauman dan propaganda kebencian.

"Saya yakin, bahawa pihak sana bukannya tidak sedar kesan buruk daripada propaganda ini.

Demi laba dan kuasa

“Tetapi memilih dengan sengaja untuk memejamkan mata dan membiarkan anak muda kita terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara.

"Semuanya demi laba dan kuasa, bukan demi rakyat dan negara," katanya.

Untuk rekod, Umno kini sekutu Pakatan Harapan di bawah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Presiden PKR Anwar Anwar Ibrahim.

Umno sebelum ini merupakan sebahagian kerajaan pusat bersama-sama PAS dan Bersatu selepas kerajaan PH digulingkan melalui Langkah Sheraton pada 2020. Walaupun Zahid merupakan presiden Umno namun dia tidak menggalas apa-apa jawatan kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan kemudian Ismail Sabri Yaakob.

Selepas PRU15, Zahid mengambil keputusan bekerjasama dengan PH bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya "menubuhkan kerajaan perpaduan" susulan tiada pihak mempunyai majoriti mudah di parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS