Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sungai Nenggiri makin surut akibat cuaca panas
Diterbitkan:  May 11, 2023 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Cuaca panas berlarutan turut memberi kesan kepada paras air Sungai Nenggiri, di Gua Musang yang kini semakin surut sehingga menyebabkan keadaan berlumpur, selain beting pasir dan batu-batuan mula timbul.

Pemandu bot enjin galah, Muhamad Fakhry Sharif, 27, berkata situasi air sungai yang semakin mengering itu disedari pemandu bot dan nelayan sejak awal minggu lepas. 

Katanya keadaan itu memaksa mereka untuk lebih berhati-hati memandangkan paras air sungai turut menimbulkan risiko terhadap pekerjaan mereka sama ada sebagai nelayan sungai mahupun membawa bot penumpang. 

“Kami dapati Sungai Nenggiri surut lebih dua meter sejak awal minggu ini. Kami sedar risiko keselamatan ketika mengemudi bot dalam keadaan air surut, tetapi sebagai nelayan sungai kami perlu terus bekerja menggunakan bot untuk menjana ekonomi keluarga. 

“Kami berharap cuaca panas ini tidak berpanjangan dan dapat meneruskan aktiviti di kawasan Sungai Nenggiri seperti biasa. Selain menoreh dan berkebun, ramai penduduk menjadi nelayan sungai untuk menampung keperluan harian,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bertam Baru, di Gua Musang. 

Pemandu bot enjin sangkut, Shaari Mustapa, 55, berkata sebahagian pemandu bot yang terkesan terpaksa berhenti kerja buat sementara kerana bimbang risiko yang akan dihadapi. 

Dia yang berpengalaman lebih 40 tahun mengendalikan bot, berkata hanya pemandu bot enjin galah dan enjin sangkut yang mahir sahaja berani meneruskan tugas mereka mengemudi bot bagi membawa penumpang atau mencari hasil sungai.

“Dengan pengalaman yang ada saya sudah mahir selok-belok arus Sungai Nenggiri. Kebanyakan orang baharu atau orang luar akan berhenti membawa bot di sungai ini ketika air surut kerana banyak cabaran termasuk kawasan sungai banyak beting pasir, tunggul kayu dan batu besar,” katanya.

Menurut Shaari jalan sungai menjadi pilihan sesetengah penumpang untuk ke Kampung Lulut atau Kuala Sungai kerana hanya mengambil masa kira-kira 15 minit berbanding lebih dua jam jika menggunakan jalan darat dari Ladang Serasa. 

Menurutnya harga tambang bot enjin sangkut yang dikenakan antara RM80 dan RM150 untuk tempoh sehari.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS