mk-logo
Berita
Konvensyen K'jaan Perpaduan rapatkan silaturahim akar umbi - Asyraf

Konvensyen nasional kerajaan gabungan itu, yang dijadualkan pada Ahad ini (14 Mei), akan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan akar umbi pentadbiran yang memerintah, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf, yang merupakan ketua sekretariat kerajaan gabungan, mendedahkan bahawa walaupun kerjasama diwujudkan di peringkat persekutuan, ini tidak semestinya berlaku di peringkat akar umbi.

"Dan ini platform terbaik permulaan satu kerjasama yang lebih tuntas dalam kalangan kepimpinan parti politik, not just on national but on state dan parlimen dan DUN, atau bahagian dan kawasan atau di peringkat PKR dipanggil cabang dan cawangan.

"Penting konvensyen ini untuk titik mula, untuk perteguhkan komitmen dan iltizam agar kita dapat sama-sama rencanakan segala agenda yang sentuh soal rakyat dari segi kepentingannya,” kata setiausaha agung Umno itu pada program yang disiarkan di Astro Awani malam tadi.

Konvensyen julung kali itu, bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’, akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, dan akan menampilkan konvensyen wanita dan belia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta wakil dan pemimpin parti politik dalam gabungan pemerintah dijangka berucap pada konvensyen itu.

Berdasarkan pengalamannya membentuk pakatan dengan PAS pada 2019 yang kini seteru politiknya, Asyraf berkata perkara berkaitan keserasian tidak boleh dilakukan secara radikal atau paksaan.

"Kena datang secara normal, tabii dan organik. Maksudnya ialah sebelum ini, Kita tengok pada 2019, kita mulakan penyatuan ummah dengan PAS.

"Tak mula dari atas. Mula dari akar umbi, laksanakkan hampir 660 ceramah penyatuan ummah di semua parlimen dan DUN.

"Sehingga merasakan ada sedikit kesefahaman dan keserasian dan akhirnya kita tandatangani," katanya.

Bukan sekadar nak berkuasa

Sementara itu, dia menegaskan pembentukan kerajaan campuran, yang dianggotai 19 parti itu, bukanlah suatu kerjasama atas dasar untuk berkuasa semata-mata.

"Kita nak bergerak ke depan. Macam mana nak bergerak? Fokus adalah kepada rakyat. Isu rakyat hari ini ialah isu ekonomi, bagaimana nak pastikan kemakmuran, keselesaan bagaimana dapat gaji yang bermaruah, hidup dalam keadaan damai.

"Mahu tak mahu, kita kena put a stop, menoktahkan segala ketidakstabilan ini yang akan cairkan asas dibina bersama sejak merdeka," katanya lagi.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail, yang juga tetamu pada program itu, berkata memang menjadi tugas pembangkang untuk memikirkan betapa kerajaan pimpinan Anwar ini "bermasalah."

Dia berkata blok pembangkang perlu mengekalkan persepsi sedemikian atau mereka akan kehilangan kerja.

"Apa yang penting ialah kerajaan perpaduan ini dapat paparkan suatu barisan, kombinasi dan gabungan yang betul-betul kukuh, bersatu, berfungsi dan inklusif.

"Satu sisi lain, elemen luar itu lebih menjurus kepada satu segmen saja, (mengenai) kepentingan satu segmen saja.

"Dengan fatwa dan pandangan dan alasan yang berubah-ubah.

"Kami tak akan masuk arena seumpama itu. Kami bawa pendekatan politik yang inklusif, pendekatan persuasif, saling hormat menghormati dan dan ini ramuan Malaysia, acuan kerajaan perpaduan," katanya.

Mengenai pilihan raya negeri akan datang, Saifuddin yakin kerajaan campuran akan mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung PKR itu juga menyatakan keyakinan untuk menakluki Kedah, berkata ia "dalam jangkauan".

"Dan yakini prestasi kami boleh jadi prestasi yang membanggakan untuk dua negeri di pantai timur.

"Apa yang para penganalisis katakan dan unjurkan, kelebihan ada pada kerajaan perpaduan sekarang kita akan leverage kedudukan sebagai kerajaan di peringkat persekutuan.

"Dan kami yakin boleh alirkan kekuatan ini ke peringkat negeri apabila masuk pusingan kerajan negeri," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS