Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar kenyataan presiden Amanah Mohamad Sabu yang memburukkan PAS selepas parti itu bersikap mesra dengan seteru politik mereka Dr Mahathir Mohamad.
Membalas kenyataan Mohamad yang menjangkakan parti itu akan turut berbaik semula dengan DAP demi kepentingan politik, timbalan presiden PAS itu menyentuh kerjasama antara Pakatan Harapan dan Umno dalam kerajaan sedia ada.
"Saya fikir, itu hanya sekadar mahu memujuk hatinya sahaja. Sebelum ini dia juga yang selalu menghentam Umno dengan mengatakan Umno sebagai parti penyamun, namun tiba-tiba hari ini dia bersekongkol dengan Umno.
"Jadi mungkin kenyataan beliau itu adalah untuk menenangkan jiwa dia yang kini diserang dan ditempelak oleh penyokong dia sendiri dan orang ramai di luar sana," katanya kepada BH hari ini.
Semalam, Mohamad yang juga mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata dia tidak akan terkejut jika PAS bersatu semula dengan DAP untuk membentuk pakatan politik dalam masa terdekat, memandangkan pernah menjadi sekutu dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Pada 3 Mei lalu, presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu dikatakan tampil menyatakan sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ dan mengadakan pertemuan dengan Mahathir sebagai pengasas proklamasi itu.
Mempertahankan tindakan partinya, Tuan Ibrahim berkata kerjasama politik yang terjalin oleh PAS adalah kerjasama dalam perkara yang berlandaskan prinsip parti sahaja.
"Sebelum ini PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP dan PAS sudah tahu apa yang berlaku atau gerak kerja yang diamalkan oleh DAP.
"PAS tetap menolak kerjasama dengan DAP sebagaimana yang menjadi pendirian parti sebelum ini dan itu juga adalah pendirian PAS dalam Perikatan Nasional sehingga sekarang," katanya.