Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Diselubungi awan gelap Umno rai ulang tahun ke-77 esok
Diterbitkan:  May 10, 2023 4:00 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Umno yang pernah dianggap 'kebal' dan tidak terkalahkan sebelum pilihan raya umum (PRU) 9 Mei 2018 akan menyambut ulang tahunnya ke-77 esok.

Pada PRU November tahun lalu, di bawah teraju presidennya Ahmad Zahid Hamidi, Umno mengalami kekalahan terbesar dalam sejarahnya.

Parti itu hanya mampu menang di 26 kerusi parlimen selepas tersungkur akibat dibadai "gelombang hijau" gabungan PAS-Bersatu dalam Perikatan Nasional sehingga menenggelamkan ramai pemimpin Umno.

PN kini dianggap sebagai pilihan pengundi Melayu yang dikatakan semakin kecewa dengan Umno kerana dakwaan rasuahnya.

Bekas pesiden Umno Najib Razak kini dipenjarakan kerana rasuah, Zahid selaku presiden sekarang pula masih berdepan dengan pelbagai tuduhan berkaitan rasuah.

Sementara itu, bekas presidennya yang paling lama berkhidmat Dr Mahathir Mohamad juga mahu melihat parti itu 'tersungkur'.

Di sebalik keadaan yang tidak menguntungkan ini, Zahid berjaya memastikan Umno dan kedudukan politiknya tetap utuh selepas memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Semasa perhimpunan agung Umno pada Januari tahun ini, perwakilan yang bersidang telah membangkitkan kebimbangan mengenai masa depan Umno dan menggesa kepimpinan menangani isu terhakisnya keyakinan orang ramai terhadap parti itu.

Antaranya, ialah Ketua Pemuda Umno Raub Fadzli Mohamad (gambar, atas) Kamal, yang berkata keputusan pilihan raya umum menunjukkan orang Melayu di kawasan luar bandar meninggalkan parti itu.

"Suka atau tidak, kita bukan parti Melayu dengan kemenangan kerusi terbanyak. Yang di luar bandar sudah mula menolak kita dan yang di bandar, sudah lama meninggalkan kita.

"Umno mesti segera sedar. Ramai orang Melayu di luar sana yang sudah membayangkan masa depan mereka, tanpa Umno.

"Ramai orang Melayu yang semakin percaya, bahawa mereka tidak perlukan Umno untuk mewakili mereka. Perkara ini jika tidak diberikan perhatian serius dan jujur, akan memberi kesan sangat buruk kepada Umno," kata Fadzli.

Semalam, dalam satu lagi perubahan politik yang pelik, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke melahirkan harapan supaya Umno akan menang besar pada pilihan raya negeri akan datang.

Jelasnya, kemenangan besar akan mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan hari ini.

Menurut jemputan media, sambutan ulang tahun itu akan diadakan di Surau Ar Rahman di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, yang juga menempatkan ibu pejabat Umno.

Mei lalu, sempena ulang tahun ke-76 Umno dan sebelum kehancurannya dalam pilihan raya negara enam bulan kemudian, Zahid, dalam mesej kepada ahli Umno, menegaskan parti itu masih relevan.

"Mereka itu sedang bermimpi di siang hari. Mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.

"Umno sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

"Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat.

“Pohon Umno nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya," kata presiden Umno itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS