Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon maaf atas kebocoran butiran pemohonnya ke pengkalan data umum.
Menerusi Twitter, pengurusan universiti itu berkata pautan tersebut di mana data tersedia telah menjadi tidak aktif dan kemas kini telah dilakukan.
"Pihak UiTM mohon maaf di atas kesilapan yang berlaku. Terima kasih," kata institusi pengajian tinggi awam itu.
Ini susulan dakwaan 11,891 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon UiTM telah dibocorkan apabila UiTM menerbitkan senarai berkenaan melalui pautan yang dikatakan tidak selamat.
Semalam, pengurusan UiTM berkata ia mengambil maklum aduan itu dan berjanji akan menyiasat perkara tersebut.
Menurut pengadu, ia dilakukan untuk membolehkan calon menyemak butiran mereka menggunakan fungsi carian pelayar daripada helaian.
UiTM juga menggesa pengadu menghubungi mereka melalui pesanan terus dengan maklumat lanjut yang berkaitan.
Pada 2019, portal forum teknologi lowyat.net melaporkan sejumlah 1,164,540 rekod, milik pelajar yang mendaftar untuk pelbagai kursus di UiTM antara 2000 dan 2018, telah dibocorkan dalam talian.
Data yang bocor itu didakwa termasuk rekod terperinci pelajar dari kampus induk UiTM di Shah Alam, serta dari 13 kampus negerinya di seluruh negara.