Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyuarakan harapannya agar seteru lamanya, Umno "menang besar" dalam PRN tak lama lagi.
Bagi Loke, kemenangan Umno tersebut akan mengukuhkan lagi kerajaan persekutuan.
"Saya harap Umno akan dapat kemenangan lebih besar, kerana dengan menjadi lebih kuat, ia akan menjadikan kerajaan lebih kuat.
"Jika mereka (Umno) jadi lebih kuat, ia tidak baik untuk pembangkang," katanya semasa sesi meja bulat berkenaan gabungan pasca-PRU anjuran Bersih di Parlimen hari ini.
Loke berkata tidak timbul soal pertembungan antara parti dalam kerajaan ketika PRN nanti.
Dia juga berkata usaha agar parti dalam kerajaan terus bersama dan membina kekuatan penting agar kerajaan sekarang terus kukuh.
Loke berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin berhubung pemisahan antara kerajaan persekutuan dan negeri, dengan ahli politik yang bekerjasama di peringkat persekutuan untuk bersaing antara satu sama lain di peringkat negeri.
"Perkara ini juga ditunjukkan dalam kerjasama PN dan BN.
"Walaupun kedua-duanya dalam kerajaan (persekutuan) sama, mereka saling berlawan di peringkat negeri dan ia menunjukkan (kerajaan persekutuan) tidak akan kekal," katanya.
Ketika bersama-sama dalam kerajaan persekutuan, PN dan BN bertembung dalam PRN Melaka pada November 2021 dan Johor pada 2022.
Loke yang juga menteri pengangkutan menegaskan fokus kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah untuk menjayakan pentadbiran sekarang.
"Jika kita mula berfikir untuk 'bunuh' sesama sendiri atau memastikan BN tidak akan jadi 'lebih besar', (kerajaan) ini tidak akan berjaya," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata mustahil untuk DAP bekerjasama dengan PAS.
Katanya lagi, prinsip DAP adalah sesiapa yang membentuk kerajaan persekutuan perlu menegakkan aspek kelbagaian budaya di Malaysia.
"PAS dalam bentuk yang sekarang, (jawapan) tentunya tidak. Jika anda lihat kenyataan dan ucapan (pemimpin) mereka, dan pandangan yang dibawa presiden (Abdul Hadi Awang), mereka secara seluruhnya menolak Malaysia sebagai negara dengan pelbagai budaya."
DAP pernah bekerjasama dengan PAS menerusi Barisan Alternatif pada 1999 hingga 2001 dan Pakatan Rakyat pada 2008 hingga 2015.
Pakatan Rakyat - yang turut dianggotai PKR - berpecah selepas PAS dan DAP bertentangan dalam soal pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.