Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) telah menyerahkan data dan maklumat berhubung pencerobohan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.
Pengarahnya Datuk Salim Aman berkata siasatan dibuat melibatkan aktiviti penerokaan yang dilakukan dipercayai melibatkan Orang Asli di luar kawasan rizab mereka serta pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata antara HSK yang paling teruk terjejas ialah kawasan di sekitar Bekok, Segamat.
“Memang ada (pencerobohan) khususnya melibatkan Orang Asli, yang sebelum ini (Sultan Johor) Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ada bertitah supaya kerajaan negeri ambil tindakan yang sewajarnya. Data pun telah dikemas kini dan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan tindakan sewajarnya,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Hutan Simpan Panti Kota Tinggi, di Johor Bahru, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar sebagai wakil rasmi Menteri Besar.
April lepas, JPNJ dilaporkan telah mengesan lebih 10 kawasan di HSK di negeri itu yang kemungkinan diterokai oleh Orang Asli melibatkan kawasan di luar rizab mereka, serta pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan HSK sebagai penempatan dan ladang getah serta kelapa sawit yang diuruskan secara terancang dengan penggunaan mesin dan sebagainya.
Pada 16 Mac, Sultan Ibrahim dalam titah perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, menggesa kerajaan negeri supaya meletakkan semula kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah “Sultanate Land”.
Ia susulan baginda kecewa kerana ada segelintir Orang Asli yang membuka kawasan hutan simpan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran, selain percaya ada orang luar menjadi dalang dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.
Semalam, lebih 200 Orang Asli Johor berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Menteri Besar tentang cadangan mengkategorikan tanah Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan.
Dalam perkembangan lain, Salim berkata Hutan Simpan Panti di Kota Tinggi, akan diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar dan Hutan Penyelidikan di bawah inisiatif Kawasan Konservasi Panti (PCA).
Beliau berkata Hutan Simpan Panti seluas 13,512 hektar itu akan diwartakan di bawah Seksyen 10(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor.
“Kawasan ini akan jadi kawasan perlindungan sepenuhnya dan kita akan warta serta kelaskan di bawah Seksyen 10 (1) sebagai hutan perlindungan hidupan liar dan hutan penyelidikan, iaitu kawasan tersebut akan ditukar menjadi hutan perlindungan sepenuhnya,” katanya.
- Bernama