Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kanada usir diplomat China atas dakwaan campur tangan

Kanada pada Selasa mengisytiharkan perintah "persona non grata" terhadap seorang pegawai Konsulat China di Toronto susulan dakwaan campur tangan asing, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Kanada memutuskan untuk mengisytiharkan persona non grata ke atas Zhao Wei," kata Menteri Luar Mélanie Joly dalam satu kenyataan.

"Jelas, kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman kami. Diplomat di Kanada telah diberi amaran bahawa jika mereka terlibat dalam tingkah laku ini, mereka akan dihantar pulang," kata Joly sambil menambah bahawa semua faktor telah dipertimbang dengan teliti sebelum keputusan dibuat.

Penyiar Kanada CBC memetik sumber kerajaan sebagai berkata bahawa Zhao mempunyai lima hari untuk meninggalkan negara itu.

Minggu lepas, akhbar The Globe and Mail memetik dokumen rahsia besar dari 2021 bahawa kerajaan China mensasarkan ahli parlimen Kanada Michael Chong dan keluarganya di Hong Kong selepas beliau membawa usul di parlimen yang mengutuk tindakan Beijing di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Menurut laporan itu, Zhao terlibat, yang mencetuskan desakan Chong supaya dia (Zhao) dipecat.

Sementara itu, Kedutaan China dalam satu kenyataan berkata pengusiran itu telah melanggar undang-undang antarabangsa, norma asas yang mengawal hubungan antarabangsa dan perjanjian dua hala yang berkaitan selain mensabotaj hubungan China-Kanada.

"Pihak China mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya dan telah membuat bantahan keras kepada pihak Kanada. Pihak China akan mengambil tindakan balas yang tegas dan akibat yang timbul daripadanya akan ditanggung oleh Kanada," menurut kenyataan itu.

Jurucakap itu menafikan campur tangan Beijing dalam hal ehwal dalaman negara lain dan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan merupakan kempen fitnah.

- Bernama-dpa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS