Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 90 projek perumahan dikeluarkan dari senarai projek sakit

Kerajaan mengeluarkan 92 projek perumahan swasta bermasalah daripada senarai projek sakit pada suku tahun pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah berkata sebanyak 80 projek sakit diselesaikan antara 31 Disember sehingga 31 Mac 2023.

Selain itu, katanya, sebanyak 12 projek lagi dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan.

Akmal berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di  Petaling Jaya, Selangor hari ini. 

Berdasarkan data pasukan petugas tersebut, terdapat 145 projek perumahan lewat siap dan 436 projek sakit sehingga 28 Februari tahun ini. 

Projek terbengkalai pula sehingga 31 Mac sebanyak 112 projek. 

Akmal berkata projek-projek sakit itu antaranya menghadapi isu berkaitan utiliti seperti sambungan bekalan elektrik, sistem pembentungan, bekalan air, kemudahan jalan dan perparitan.

Perkara itu, katanya, menjadi kekangan kepada pemaju untuk menyiapkan projek perumahan mengikut tempoh masa dirancang. 

“Ini antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya projek perumahan swasta sakit selain daripada faktor utama yang melibatkan isu kewangan syarikat,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjalankan perbincangan dua hala bersama agensi utiliti berkaitan untuk mencari penyelesaian terbaik. 

“Insya-Allah, masa Parlimen bersidang, kita akan bertemu dengan syarikat TNB (Tenaga Nasional Berhad),” katanya. 

Sesi Dewan Rakyat pada persidangan akan datang berlangsung pada 22 Mei sehingga 15 Jun ini. 

Tumpuan khusus kepada PR1MA 

Sementara itu, katanya, KPKT juga memberikan tumpuan khusus terhadap pemulihan projek perumahan sakit kelolaan perbadanan dan syarikat di bawah KPKT seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA). 

Katanya, pasukan petugas menetapkan sasaran 10 daripada 20 projek sakit disiapkan dalam tahun ini.

Setakat ini, sehingga 30 April 2023, lapan  projek sakit PR1MA berjaya disiapkan dan menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC). 

Projek-projek itu ialah Residensi Taman Raia Sentosa (Sungai Raia) di Perak, Residensi Woodford Estate Fasa 1 di Sabah, Residensi Kota Tinggi di Johor, Residensi Ranggu di Sabah, Residensi Sitiawan Fasa 2 di Perak, Residensi Pelangi Indah di Johor, Residensi Seri Mahkota (Sungai Ular) di Kedah dan Residensi Bandar Bukit Mahkota, Selangor. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS