Menteri Sumber Manusia V Sivakumar hari ini mengesahkan lima pegawainya telah dipecat berhubung skandal rasuah dan salah guna kuasa baru-baru ini, yang turut menyaksikan dua daripada mereka ditahan.
Bercakap kepada pemberita pagi ini, dia berkata tindakan berkenaan dilakukan bagi memastikan kementerian dapat terus berfungsi dengan baik.
“Itu memang berlaku (pemecatan kakitangan).
“Kita nak pastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik,” katanya kepada wartawan di Bangi, hari ini.
Sivakumar, yang merupakan ahli parlimen DAP Batu Gajah, bagaimanapun tidak mengulas lanjut apabila diminta menghuraikannya.
Dia juga tidak menjawap soalan mengenai siapa sebenarnya yang mengarahkan penamatan kontrak pegawai tersebut.
Menteri itu kemudian beredar tanpa melayan sebarang soalan lain berhubung isu pemberhentian kakitangan tersebut, termasuk mengapa pegawai itu dipecat sedangkan mereka masih belum didakwa atau didapati bersalah di mahkamah.
Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa lima pegawai menteri sumber manusia itu ditamatkan perkhidmatan mereka berkuat kuasa serta-merta.
Menurut sumber di Jabatan Perdana Menteri, seorang lagi ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Ada yang ditamatkan kontrak kerana terkait siasatan SPRM. Sementara ada juga kerana prestasi kerja,” kata sumber itu Malaysiakini.
Semua enam pegawai itu adalah dilantik oleh menteri semasa.
SPRM April lalu menyerbu pejabat kementerian itu di Putrajaya dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.
SPRM turut menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.
Susulan itu, Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.
Namun, selepas tamat reman, tempoh penggantungan seorang pegawai dikekalkan. Sementara dua lagi mengambil cuti sehingga tamat siasatan tersebut.