Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad terus bertelagah dan bertikam lidah berhubung isu aset masing-masing di sebalik kes itu kini di mahkamah.
Kali ini, giliran Mahathir pula meminta Anwar mengisytiharkan kekayaannya semasa menjadi timbalan perdana menteri dari 1993 hingga 1998, dengan mendakwa dia adalah antara "pemimpin terdahulu" yang dituduh mengamalkan kronisme.
Dia mengulas gesaan Anwar yang mengulangi cabaran kepadanya supaya mendedahkan semua harta peribadi dan aset milik keluarganya. Mahathir sebelum ini memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
“Konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan dia punyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan ini. Kalau sudah ada dedahlah dan cajlah di mahkamah,” katanya.
Daripada mengheret pemimpin berkenaan ke mahkamah, Mahathir berkata perdana menteri meminta mereka mengisytiharkan harta masing-masing dan menggunakan kekayaan peribadi mereka untuk membantu golongan miskin.
“Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.
“Dedahlah kekayaan di masa jadi timbalan perdana menteri seperti yang dituntut sekarang. Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit kerajaan,” katanya dalam beberapa hantaran di media sosial.
Memandangkan Anwar mendakwa mempunyai maklumat tentang “berbilion yang disapu” oleh dirinya dan keluarganya, Mahathir berkata tidak perlu baginya untuk membuat pengisytiharan awam.
“Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya.
“Di mahkamah tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. Dengan itu pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia.
“Tak perlu saya isytihar lagi. Tetapi Anwar juga perlu isytihar,” katanya.
Sebelum pilihan raya umum lalu, Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM11.18 juta.
Dia mengisytiharkan RM828,667.83 dalam bentuk aset tunai dan RM10.35 juta dalam hartanah.
Mahathir, 97, dan Anwar, 75 telah terlibat dalam perbalahan sengit yang menjangkau lebih dua dekad sejak bekas perdana menteri itu memecat timbalannya pada 1998.
Bagaimanapun mereka “berdamai seketika” dan berganding bahu pada pilihan raya umum 2018 untuk menumbangkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.