Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang Asli Johor berhimpun bantah ‘tanah Kesultanan’
Diterbitkan:  May 8, 2023 6:02 PM
Dikemaskini: May 10, 2023 1:12 AM

Sekumpulan Orang Asli di Johor berhimpun bagi membantah cadangan menukar tanah rizab mereka di negeri itu kepada "tanah kesultanan" pagi ini.

Menurut Sinar Harian, lebih 200 Orang Asli berkumpul di hadapan pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar pada 10 pagi untuk membuat bantahan secara aman serta menyerahkan memorandum berhubung perkara itu.

Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ), Dolah Tekoi berkata, komuniti mereka bimbang mereka mungkin diklasifikasikan sebagai "penumpang" di tanah berkenaan, menyebabkan mereka terdedah kepada pengusiran pada bila-bila masa.

"Bantahan ini bukan bersifat peribadi, sebaliknya hanya mempertahankan hak kami. Kami masih selesa dengan sistem lama iaitu tanah Orang Asli diletakkan di bawah sistem rizab biasa, iaitu di bawah Akta 134 dan Kanun Tanah Negara.

"Terdapat 18,000 orang masyarakat Orang Asli di Johor terdiri daripada suku kaum Jakun, Temuan, Seletar, Duanu, Orang laut antaranya di Mersing, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian," katanya seperti dilapor.

Memorandum itu yang bukan sahaja menggariskan bantahan mereka terhadap cadangan itu tetapi turut mengandungi cadangan pengurusan tanah adat, diserahkan kepada Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi melalui setiausahanya selepas bantahan berkenaan.

JPOAJ sebelum ini menyatakan pada 16 April lalu bahawa mereka bercadang untuk menyerahkan surat bantahan rasmi kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Sebelum ini, pada 16 Mac lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan negeri Johor mengisytiharkan semua rizab dan kampung Orang Asli sebagai tanah kesultanan bagi mengelak penyelewengan tanah berkenaan.

Sultan Johor bertitah perkara ini perlu kerana segelintir Orang Asli telah menukar hutan simpan negeri menjadi ladang kelapa sawit dan getah yang luas.

Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) melindungi rizab Orang Asli daripada pengasingan atau pelupusan, tetapi kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membatalkan perlindungan ini.

Sementara itu, Enakmen Tanah Kesultanan Johor menyatakan "tanah kesultanan" dimiliki oleh sultan dan tidak boleh dijual, dipajak, atau dilupuskan tanpa kebenaran bertulis sultan.

Dolah hari ini mencadangkan bahawa sekiranya dakwaan Orang Asli tertentu bekerjasama dengan orang luar untuk mengeksploitasi rizab adalah benar, maka seharusnya hanya individu tersebut yang harus bertanggungjawab, bukannya menghukum seluruh masyarakat Orang Asli.

Dia berkata bahawa dia berhasrat untuk membangkitkan kebimbangan ini kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua minggu akan datang.

Di samping itu, Dolah berkata komuniti mereka sedia menghadap Sultan Ibrahim berhubung isu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS