Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjangkakan isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus dipolitikkan termasuk pada kempen di enam pilihan raya negeri (PRN).
Anwar berkata, dia bersedia untuk menghadapi perkara itu bagi memastikan KWSP tidak lari daripada landasannya sebagai simpanan hari tua pekerja.
Jelasnya, dia antara yang lantang pada ketika itu memperjuangkan pengeluaran caruman KWSP kerana situasi mendesak dan darurat ekoran penularan Covid-19.
"Pada masa itu terdesak, darurat...Sekarang sudah berubah, sudah boleh bekerja.
"Saya percaya ini akan terus dimainkan termasuk di dalam enam PRN, namun kita tidak gusar," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara KWSP Kwasa Damansara di Sungai Buloh, hari ini.
Hadir sama-sama Pengerusi KWSP, Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan.
Pembangkang sebelum ini menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi mereka yang terkesan.
Pada 27 Feb pembangkang menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran bersasar caruman KWSP, kepada golongan yang memerlukan dengan mencari satu mekanisme yang sesuai.
Desakan itu disuarakan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut), melalui sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar, di Dewan Rakyat.
Hamzah berkata, kerajaan perlu membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar dengan mencari mekanisme tertentu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mengeluarkan wang simpanan persaraan itu.
Bagaimanapun, pada 20 Mac lalu, perdana menteri menegaskan kerajaan perlu mencari jalan lain bagi meringankan beban rakyat dalam usaha memastikan dana pelaburan negara itu tidak terjejas.
"Saya boleh popular dan membenarkan pengeluaran KWSP, tetapi adakah seorang yang bertanggungjawab boleh berbuat demikian?" katanya.
Sementara itu, Anwar menggesa KWSP untuk menaikkan kadar pelaburan dalam negara kepada 70 peratus.
Katanya, ia penting kerana matlamat penubuhannya untuk membantu para pencarumnya supaya mendapat manfaat selepas bersara.
“Saya lihat KWSP pelaburan tinggi 64 peratus dalam negara, saya cuma mahu agar pelaburan dalam negara mencecah 70 peratus.
“Untuk keperluan negara sekarang dan ambil kira keperluan sebahagian rakyat. Pelaburan betul strategik tapi infrastruktur strategik macam SMART Tunnel oleh KWSP, saya akui berkesan,” katanya lagi.