Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rundingan kerusi di S'gor bukan hanya berasaskan keputusan PRU lepas - Zahid

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata rundingan kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan mengambil kira kerusi yang telah dimenangi BN dan PH.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu bukan satu-satunya pertimbangan yang diambil kira bagi rundingan kerusi berkenaan.

"Kami merasakan bahawa asas PRU14 dan PRU13 sahaja tidak boleh digunakan sebagai basis untuk kita mengutamakan (rundingan kerusi).

“Perbincangan harus diadakan dengan BN dan PH,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Wilayah Persekutuan (FT) di Dataran Pintu Gerbang di Kampung Baru hari ini.

Timbalan perdana menteri itu berkata dia dimaklumkan bahawa pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Megat Zulkairnain Omardin dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sedang membincangkan perkara itu, namun masih belum ada keputusan muktamad.

Pada pilihan raya 2013, BN memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN di Selangor manakala Pakatan Rakyat ketika itu memenangi 44 kerusi.

Pada PRU14, PH meluaskan penguasaan mereka di Selangor dengan memenangi 51 kerusi, manakala BN memenangi 4.

Enam kerusi PH dimenangi oleh Bersatu - yang merupakan parti komponennya ketika itu - manakala PAS memenangi satu kerusi.

PAS dan Bersatu kini bersekutu dalam PN, manakala BN dan PH bekerjasama selepas membentuk kerajaan persekutuan.

Pada 2 Mei lalu, Umno mencadangkan agar parti itu diberikan 22 kerusi DUN pada pilihan raya Selangor akan datang.

Ketua Pemuda Umno Selangor, Mohd Imran Tamrin berkata cadangan Umno adalah untuk mengetengahkan sekurang-kurangnya seorang calon DUN di setiap 22 kerusi parlimen di negeri itu.

Imran berkata formula ini termasuk Umno dibenarkan mempertahankan semua lima kerusi yang disandangnya dan meletakkan calon bagi kerusi di mana penyandangnya telah keluar parti iaitu di Batang Kali, Jeram, Selat Klang, Dengkil, Gombak Setia, dan Bukit Antarabangsa.

Bagaimanapun katanya Umno Selangor tidak menerima sebarang maklum balas berhubung cadangan itu daripada jawatankuasa parti itu yang kini sedang merundingkan pakatan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS