Seramai 891 pemilik kediaman Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Residensi Seremban Sentral di Seremban yang sebelum ini membantah kelewatan penyerahan kunci rumah dijangka akan mula memasuki kediaman mereka mulai 1 Jun ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kelewatan itu disebabkan perbalahan panjang antara Perbadanan PR1MA Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengenai tanah rizab milik pengendali keretapi berkenaan.
"Residensi PR1MA ini sudah hadapi masalah panjang kerana perbalahan antara pihak Perbadanan PR1MA dan tanah rizab KTMB sejak 2015 tak boleh selesai.
"Seramai 891 unit (pembeli) kediaman ini tidak dapat masuk kediaman mereka kerana perbalahan ini. Jadi, kita selesaikan (dan) mulai 1 Jun (891 pembeli) boleh masuk kediaman mereka," katanya seperti dilapor Berita Harian.
Anwar berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini.
Februari lalu, Malaysiakini menyiarkan keluhan pembeli projek PR1MA Residensi Seremban Sentral yang mendesak pihak pemaju perumahan itu agar segera menyerahkan kunci rumah kepada mereka.
Ini kerana kebanyakan daripada pembeli terutama yang membuat pinjaman dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sudah mula membuat bayaran pinjaman mereka sejak tahun lepas.