Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banyak usaha sedang dibuat untuk dapatkan semula aset 1MDB - Johari

Pelbagai usaha sedang diambil untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, termasuk daripada Goldman Sachs, kata Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Johari Abdul Ghani.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata keutamaan pasukan petugas itu adalah untuk mendapatkan semula aset berkenaan, manakala kes melibatkan jenayah dan tangkapan pula akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Ini kena bezakan, saya lebih menumpukan kepada mendapatkan kembali aset (1MDB). Mana-mana melibatkan kes-kes jenayah dan juga melibatkan penangkapan, akan dibuat oleh pihak berkuasa.

"Jadi insya-Allah, saya fikir lebih banyak yang kita tengah buat khususnya dengan Goldman Sachs," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baru, hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu ditanya sama ada individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB akan diekstradisi ke Malaysia untuk menghadapi tindakan undang-undang.

Pada 5 Mei lalu, seorang individu yang didakwa sekutu ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) kembali ke Malaysia selepas meninggalkan negara ini lima tahun lalu.

Sumber menyatakan dia dibawa pulang ke Malaysia dengan bantuan agensi penguatkuasaan luar negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menerima dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Sumber tersebut menambah suspek berkenaan telah diberikan notis perintah untuk hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Rabu jam 10 pagi selepas tiba di KLIA2.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik Johari sebagai pengerusi Pasukan Petugas 1MDB pada 10 Mac lalu.

Anwar berkata bekas menteri kewangan kedua itu membangkitkan banyak isu berkaitan 1MDB di Dewan Rakyat, termasuk penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan.

Menurut Johari, kerajaan terdahulu telah bersetuju untuk menerima hanya RM11.2 bilion daripada jumlah tuntutan sebanyak RM29 bilion.

Selain itu, bank itu telah berjanji untuk membantu perolehan semula RM6.25 bilion aset 1MDB.

Johari berkata penyelesaian itu sangat tidak memadai dan menggesa kerajaan menyiasat mereka yang terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS