Ahli Parlimen Rantau Ranjang Siti Zailah Mohd Yusoff berdepan siasatan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas dakwaan mengambil air daripada pilih bomba.
Ia susulan hantaran di beberapa laman Facebook yang memaparkan dia aktif mengusahakan bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk di parlimen itu sejak April lalu.
Ini termasuk gambar yang dimuat naik menunjukkan sebuah lori sedang mengambil air daripada pili bomba sambil diperhatikan oleh Siti Zailah.
"Ya Allah permudahkan segala urusan kami. Di musim banjir kami berdepan dengan cabaran banjir, sekarang pula berdepan dengan cabaran kemarau," katanya sebagai kapsyen hantaran tersebut.
Selain itu beberapa keping gambar memaparkan aktiviti pengambilan air daripada pili bomba turut tular di media sosial sejak seminggu lalu.
Sementara itu Bernama melaporkan KPKT akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan berkenaan.
Menterinya Nga Kor Ming berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap ahli Parlimen tersebut kerana ia merupakan perkara yang tidak bertanggung jawab.
"Sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian.
"Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku," katanya dipetik sebagai berkata.