Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB: Saham Celcius yang dirampas dari Leissner milik saya - Bekas isteri
Diterbitkan:  May 6, 2023 10:38 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Model yang juga usahawan, Kimora Lee Simmons mendakwa saham bernilai kira-kira AS$93 juta (RM413 juta) yang diperintahkan oleh mahkamah AS untuk dirampas daripada bekas suaminya Tim Leissner berhubung skandal 1MDB, sebenarnya adalah miliknya.

Dalam pemfailan di hadapan hakim persekutuan di Brooklyn, New York Jumaat lalu, Simmons berkata 892,732 saham dalam Celsius Holdings Inc, pembuat minuman kecergasan, dibeli dengan wang hasil kerjayanya sebagai model dan jenama pakaian miliknya, Baby Phat.

"Lee telah mengesahkan bahawa dia adalah pembeli yang bonafide untuk nilai saham Celcius. Leissner tidak menyumbang sebarang dana untuk pembelian saham Celcius dan tidak memiliki saham Celsius.

"Hakikat bahawa saham Celsius digunakan sebagai cagaran untuk bon Leissner tidak bermakna terdapat kaitan antara kesalahan Leissner dan saham yang dirampas," Bloomberg memetik bekas bintang rancangan realiti TV "Kimora: Life in the Fab Lane" itu.

Menurut Simmons, saham itu dimasukkan secara salah dalam perintah mahkamah persekutuan pada bulan Mac yang memerlukan Leissner menyerahkan 3.3 juta saham Celsius.

Selain itu, bekas pegawai bank Goldman Sachs itu juga diperintahkan untuk melucut hak wang tunai AS$43.7 juta (RM195 juta) sebagai sebahagian daripada pengakuan bersalahnya sebelum ini terhadap tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.

Selain Leissner, bekas pegawai bawahannya Roger Ng juga pada Mac lalu diarah melucut hak AS$35.1 juta (RM155 juta), selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana membantu rompakan berbilion dolar daripada 1MDB.

Ng merupakan warga Malaysia.

Pada November tahun lalu, Ng turut menyaman Leissner lebih AS$130 juta (RM611 juta), dengan mendakwa dia berulang kali berbohong untuk mencuri pelaburannya dalam Celsius Holdings, serta syarikat kecerdasan buatan, Sentient Technologies.

Ng disabitkan bersalah kerana membantu Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, melakukan pengubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan.

Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang disyaki merupakan dalang turut didakwa tetapi masih bebas.

Goldman melakukan penyelesaian dengan pihak berkuasa pada Oktober 2020, bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion dan meminta cawangannya di Malaysia mengaku salah atas pertuduhan rasuah itu.

Bekas perdana menteri, Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah menerima AS$10 juta daripada 1MDB.

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS