Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ops Manis selama seminggu tangani isu bekalan gula di Pantai Timur
Diterbitkan:  May 5, 2023 5:19 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Kerajaan melancarkan pasukan petugas Ops Manis bagi menangani kekurangan bekalan gula di Pantai Timur yang berlaku sejak dua hari lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Azman Mohd Yusof berkata, operasi itu berjalan selama seminggu, iaitu mulai dua hari lalu sehingga 9 Mei ini.

"Ops Manis bertujuan memulihkan gangguan bekalan gula di setiap lapisan rantaian pembekalan, memastikan tidak berlaku pembelian panik, memastikan pematuhan undang-undang dipraktik oleh setiap peniaga, pemantauan ke atas keberadaan inventori stok penimbal (stockpile) gula di kilang atau gudang penyimpanan serta memastikan tiada isu penyeludupan gula ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia memaklumkan tiada kompaun dikenakan terhadap 116 premis pemborong dan peruncit di Kelantan dan Terengganu dalam operasi yang dijalankan hari ini.

Menurutnya, jumlah pengedaran gula daripada kilang kepada 17 pemborong utama di Kelantan sebanyak 147,840 kg dan di Terengganu, pengedaran melibatkan 269,528kg kepada 19 pemborong utama.

“Kelantan memaklumkan sebanyak 280 premis melibatkan 263 pemborong/peruncit dan 17 pasar raya telah diperiksa dan mendapati bekalan gula ada hasil pengedaran dan penghantaran yang dibuat oleh enam pemborong utama pada hari ini.

“Pasar raya utama iaitu Mydin telah menerima jumlah bekalan gula tertinggi pada hari ini dengan menjadikan jumlah stok bekalan gula sebanyak 71,040 kg daripada syarikat MSM.

“Manakala pasar raya yang mengambil bekalan dengan Distribution Centre (DC) seperti Econsave, Aeon Mall, Giant dan Lotus masih lagi mempunyai bekalan namun tidak mampu memenuhi permintaan setempat dan menunggu penghantaran dari pihak DC mereka,” katanya.

Di Terengganu pula, dia berkata KPDN negeri memaklumkan sebanyak 148 premis melibat pemborong, peruncit dan pasar raya telah menerima bekalan hasil edaran daripada 10 pemborong utama.

Katanya lagi, hasil laporan mendapati negeri itu menerima bekalan gula tertinggi iaitu sebanyak 141,768 kg daripada syarikat MSM dan 127,760kg daripada syarikat CSR.

“Bagi isu kekurangan gula di Terengganu pada hari ini didapati pasar raya utama yang menerima edaran dari DC juga menerima pembelian yang tinggi dan berlaku kehabisan bekalan. Pasaraya yang menerima bekalan dari DC adalah Mydin, Giant, Tunas Manja, Econsave dan Nirwana,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan kegusaran dalam kalangan penduduk Kelantan susulan sukar mendapat gula paket satu kilogram yang didakwa tiada di pasaran sejak 22 April lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS