Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mitra umum inisiatif RM39.4 juta bantu masyrakat India B40

Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) hari ini mengumumkan tiga inisiatif bagi membantu golongan B40 masyarakat India membabitkan dana berjumlah RM39.44 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra R Ramanan berkata program-program tersebut akan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, ekonomi, latihan kerja, kebajikan dan kesejahteraan sosial.

Menurutnya, inisiatif pertama adalah program subsidi bantuan pengajian ijazah sarjana muda bagi pelajar India dalam kategori B40 di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

"Mahasiswa-Mahasiswi dalam pengajian tahun kedua, ketiga atau tahun akhir pengajian ijazah akan menerima bantuan subsidi secara sekali beri bernilai RM2,000.

"Seramai 10,000 orang pelajar India B40 di universiti-universiti awam akan menerima manfaat ini, di mana anggaran perbelanjaan adalah sebanyak RM20 juta yang akan dilaksanakan secara kolaboratif bersama Bank Simpanan Nasional (BSN)," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Ramanan berkata permohonan untuk bantuan itu dibuka pada 8 Mei 2023 sehingga 15 September ini.

Inisiatif kedua adalah program subsidi pendidikan awal tadika swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengurangkan masalah keciciran dalam pendidikan awal dan masalah literasi serta numerasi di kalangan kanak-kanak masyarakat India B40.

R Ramanan

"Subsidi bernilai RM200 sebulan meliputi yuran tadika dan sarapan pagi untuk setahun.

"Seramai 4,500 kanak-kanak India B40 akan menerima manfaat ini, di mana anggaran perbelanjaan dijangkakan sebanyak RM10.8 juta.

"Subsidi pendidikan akan dibayar terus kepada pengusaha-pengusaha tadika," katanya sambil menambah bantuan itu diberikan kepada mereka yang membuat permohonan awal, dan permohonan telah dibuka pada 17 April lalu dan berjalan sehingga 28 Mei ini.

Inisiatif ketiga adalah subsidi bantuan dialisis untuk masyarakat India kategori B40.

Katanya, program kesihatan tersebut menyasarkan 900 pesakit kronik buah pinggang yang memerlukan bantuan dialisis melibatkan bayaran subsidi RM200 untuk satu sesi.

"Bantuan subsidi ini adalah untuk bayaran empat kali sebulan selama setahun.

"Sebanyak RM8.64 juta telah diperuntukkan bagi program bantuan dialisis yang akan dilaksanakan dengan kerjasama pusat-pusat dialisis yang sedia ada.

"Permohonan akan dibuka pada 8 Mei 2023 sehingga 30 Ogos 2023," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ramanan yang juga ahli parlimen Sungai Buloh berkata Mitra telah menerima lebih 1,200 permohonan bagi geran kewangan berjumlah RM30 juta, untuk organisasi yang melaksanakan program sosioekonomi masyarakat India.

Dia berkata tempoh permohonan telah dilanjutkan sehingga 28 Mei ini.

"Setakat 4 Mei 2023, Khamis sebanyak 1,227 permohonan bernilai RM443 juta telah diterima secara atas talian.

"Kami akan meneliti setiap permohonan dan akan memperuntukkan dana kepada permohonan yang membawa manfaat kepada masyarakat India khususnya B40," katanya.

Untuk rekod, semasa pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta kepada Mitra.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS