Kerajaan berpendirian akan tetap membawa pulang ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho ke Malaysia secepat mungkin walaupun proses tersebut sukar, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kerajaan telah berunding dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses membawa pulang ahli perniagaan yang terlibat dengan skandal 1MDB itu.
“Sudah tentu (ingin bawa pulang secepat mungkin). Ia merupakan pendirian (kerajaan) dan kita amat tegas sejak hari pertama lagi,” katanya apabila ditanya jika kerajaan mahu mengheret Jho Low ke negara ini secepat mungkin untuk dibicarakan.
Mengulas lanjut, perdana menteri berkata, perundingan secara diplomatik berhubung perkara itu memang telah dijalankan .
"Namun, kita tidak pernah mendedahkan ia dengan negara mana.
“Kita tahu kedudukan di mana dia (Jho Low) berada, dan kita berunding bagi mempercepatkan proses," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ Bradley Hope mendakwa kerajaan dipercayai berunding dengan China untuk mengekstradisi Jho Low.
Memetik sumber, Hope yang menulis perkara tersebut dalam satu laman web untuk mengesan Low, turut berkata bahawa rundingan tersebut diadakan semasa kunjungan rasmi Anwar ke republik itu pada Mac lalu.
Anwar juga enggan mendedahkan sama ada China merupakan antara negara yang terlibat dalam rundingan tersebut.
“Ia melibatkan banyak negara, perkhidmatan perisikan, Interpol dan lain-lain,” katanya.
“Negara-negara (tersebut) bekerjasama. Negara yang saya berhubung memberikan sokongan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saidfuddin Nasution mengesahkan notis merah yang dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Low masih aktif.
Notis tersebut turut membabitkan lima individu lain yang terbabit dalam skandal 1MDB. Antaranya merupakan Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.