Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hentikan hukum anak luar nikah kerana kesilapan ibu bapa

Sebuah kumpulan hak asasi yang memperjuangkan pembaharuan dalam isu kewarganegaraan menggesa kerajaan supaya henti "menghukum" kanak-kanak luar nikah hanya kerana kegagalan ibu bapa mereka mendaftarkan perkahwinan mereka.

Malaysia kini, kata Pengarah Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA) Malaysia bagi perlindungan sosial, Maalini Ramalo, adalah antara dua negara di dunia yang mendiskriminasi lelaki dari segi mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak-anak yang lahir luar nikah.

Katanya, susulan kenyataan bertarikh 4 Mei dari pejabat peguam negara Komanwel Bahamas yang mengekalkan penghakiman penting mahkamah agung bahawa semua kanak-kanak yang dilahirkan secara luar nikah oleh warga negara lelaki Bahamas dan ibu warga asing adalah warga Bahamas apabila mereka dilahirkan dan tidak perlu menunggu sehingga berumur 18 tahun untuk memohon kewarganegaraan.

"Ini bermakna semua negara Islam atau majoriti Islam lain juga telah menangani amalan diskriminasi ini dengan berkesan.

"Saya bukan mengatakan bahawa perkahwinan yang sah tidak harus dijadikan syarat tetapi undang-undang harus ditegakkan supaya anak-anak tidak dihukum atas tindakan ibu bapa mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Maalini berkata kerajaan tidak seharusnya membezakan antara anak yang lahir mengikut perkahwinan yang sah dan mereka yang dilahirkan secara luar nikah dalam menentukan akses mereka kepada kerakyatan.

"Kekecohan yang menyelubungi kanak-kanak luar nikah ini dan pertikaian status mereka adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Dilahirkan secara luar nikah di Malaysia bermakna seseorang bapa di Malaysia tidak boleh memberi kewarganegaraan kepada anak-anak mereka,” katanya, sambil menyatakan diskriminasi tambahan terhadap bapa yang tidak berkahwin di bawah undang-undang kewarganegaraan Malaysia.

"Ini menyebabkan sebilangan besar kanak-kanak berisiko tanpa kerakyatan walaupun dilahirkan di Malaysia," kata Maalini.

Katanya, situasi ini dikaitkan dengan Seksyen 17 Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, yang mengawal perolehan kerakyatan.

Peruntukan itu menetapkan bahawa kuasa untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan luar nikah adalah terletak pada ibu.

Ini menyebabkan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warga asing tidak mendapat kewarganegaraan melalui bapa mereka yang adalah rakyat Malaysia.

Pada April, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa hanya 33 kerakyatan diberikan kepada anak luar nikah daripada 5,094 permohonan yang diterima antara 2019 dan 2022.

Secara keseluruhan, Saifuddin ketika itu berkata terdapat sejumlah 133,436 permohonan kerakyatan yang belum selesai merentasi pelbagai kategori, termasuk dewasa dan kanak-kanak, dan kerajaan menetapkan sasaran untuk meluluskan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan menjelang akhir tahun.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS