Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayar segera atau terima notis bankrap, kata Mahfuz pada Sanusi
Diterbitkan:  May 5, 2023 9:43 AM
Dikemaskini: 1:46 AM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor diminta segera membayar saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan akan difailkan terhadapnya, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata sekiranya Muhammad Sanusi terus melengahkan bayaran saman itu, dia akan berbincang dengan peguam dalam tempoh terdekat termasuk menyita aset menteri besar itu.

"Saya kena minta peguam saya untuk bertindak membuat tuntutan itu atau saya akan tunggu nasihat daripada peguam sama ada nak failkan kebankrapan ke atasnya atau sita harta beliau yang berjumlah RM120,000," katanya pada sidang media di Alor Setar semalam, seperti lapor BH.

Mahfuz berkata alasan Muhammad Sanusi meminta dia berurusan dengan peguamnya adalah tidak relevan kerana Menteri Besar itu sudah menangguhkan bayaran saman itu lebih dua minggu.

Katanya, Muhammad Sanusi sepatutnya tidak perlu menunggu lebih daripada tempoh itu kerana perlu mematuhi keputusan mahkamah.

"Kalau dia (Sanusi) nak memindahkan wang itu terus ke akaun saya iaitu RM120,000 campur RM15,000 iaitu kos mahkamah dan RM10,000 kos guaman, jadi keseluruhan RM145,000.

"Beliau boleh pindahkan terus secara dalam talian dan kongsi di WhatsApps, kemudian buat permohonan maaf. Jadi selesai.

"Tak perlu lagi melalui peguam dengan peguam, apabila sudah lebih tempoh 14 hari saya kena minta peguam saya bertindaklah," katanya.

Pada 9 Oktober 2019, bekas ahli parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung hantaran melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama yang mengaitkan dia dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah berkenaan selain Mahfuz memohon menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS