Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di London, United Kingdom hari ini bagi mengadakan lawatan khas hingga 14 Mei ini.
Menurut catatan di Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 9.30 malam waktu tempatan (4.30 pagi waktu Malaysia).
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut wakil Istana Buckingham, Deputy Lord Lieutenant Elizabeth Slack, Wakil Khas Foreign Secretary David Gordon-MacLeod dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakri Jaafar serta isteri, Datin Nor Aini Abdul Rahman.
Lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London adalah atas persilaan Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan baginda sebagai Pemerintah United Kingdom di Westminster Abbey pada Sabtu ini.
Seri Paduka berdua turut dijadualkan menghadiri majlis resepsi dihoskan Raja Charles III di Istana Buckingham, esok.
Menurut catatan itu, kali terakhir Seri Paduka berdua berkenan berangkat ke Istana Buckingham ialah pada 12 Okt tahun lepas sempena kunjungan hormat ke atas Raja Charles III.
Kunjungan hormat tersebut bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London dari 10 hingga 16 Okt 2022.
- Bernama