Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP arah ahli jangan buat spekulasi jawatan dan calon p'raya
Diterbitkan:  May 4, 2023 5:10 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

DAP mengingatkan ahli parti, terutamanya wakil rakyat, supaya tidak membuat ulasan awam berkaitan jawatan dan pencalonan pilihan raya.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata keputusan mengenai jawatan dan pencalonan terletak pada pucuk pimpinan parti.

Lantaran itu, katanya sebarang kenyataan umum mengenai perkara ini hanya perlu datang daripada pucuk pimpinan, terutamanya setiausaha agung Anthony Loke.

“Ini akan menghalang lawan politik kita daripada memanipulasi sebarang kenyataan menjelang pilihan raya negeri.

“Bagi mereka yang enggan mendengar (ketetapan ini), abaikan mereka dan parti akan bertindak sewajarnya pada masa yang sesuai,” kata Lim.

Lim berkata demikian sebagai mengulas artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini berhubung komplot yang dikatakan untuk menggantikan Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri akan datang.

Artikel itu telah ditarik balik oleh Malaysiakini selepas didapati terdapat kesilapan.

Lim mendakwa insiden itu merupakan peringatan bahawa DAP berdepan dengan pihak lawan dari dalam dan luar yang berniat untuk menyemai perpecahan di kalangan mereka.

“Kita hanya boleh membuat spekulasi mengenai motif politik dan identiti dalang konspirasi.

"Jelas sekali terdapat percubaan berulang dan bersepadu dari dalam dan luar untuk menjejaskan dan mensabotaj kepimpinan nasional DAP kerana enggan tunduk kepada pandangan mereka," kata Lim.

Mengulas kejadian itu, Lim mengkritik Malaysiakini kerana "mengorbankan" laporan yang benar dan integriti kewartawanan.

Nota editor: Menjadi hasrat Malaysiakini untuk mengamalkan kewartawanan dengan standard tertinggi. Mengenai artikel yang dipertikaikan itu, Malaysiakini mengakui terdapat beberapa kesilapan yang tidak diingini yang mana kami telah memohon maaf. Kami menafikan menjadi sebahagian daripada sebarang konspirasi terhadap DAP dan kami tidak mempunyai sebarang motif politik dalam pemberitaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS