Lima pegawai Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta, kata sumber di Jabatan Perdana Menteri.
Malaysiakini difahamkan bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membersihkan kementerian tersebut yang baru-baru ini dicemari dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai pejabat menteri.
"Sebanyak lima pegawai ditamatkan kontrak. Manakala, satu lagi ditukar ke JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).
"Ini termasuk dua pegawai yang baru-baru ini ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
"Setahu saya, dua pegawai telah pun menerima surat pemberitahuan penamatan kontrak dan ditukar jabatan. Yang lain, saya tak beberapa pasti (dah terima surat atau belum)," katanya.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, bukan semua pegawai yang ditamatkan kontrak berkaitan siasatan SPRM.
“Ada yang ditamatkan kontrak kerana terkait siasatan SPRM. Sementara ada juga kerana prestasi kerja,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi menteri dan pejabat menteri untuk pengesahan.
SPRM sebelum ini menyerbu pejabat kementerian itu di Putrajaya dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.
SPRM turut menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.
Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.
Susulan itu, Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.
Namun, selepas tamat reman, tempoh penggantungan seorang pegawai dikekalkan. Sementara dua lagi mengambil cuti sehingga tamat siasatan tersebut.