Veteran Umno Shahrir Samad memyindir apakah kerjasama dengan Umno dalam kerajaan pusat kini bukan ‘red line’ (batasan) bagi akar umbi DAP.
Bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu membuat sindiran berkenaan selepas bekas ahli parlimen DAP Ong Kian Ming berkata ‘red line’ bagi pemimin dan akar umbi DAP adalah pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak sebelum hukuman penjaranya tamat.
"Ong hanya melihat kepada soal pengampunan Najib (Razak) sebagai 'red line' tapi begitu banyak 'red line' yang dicerobohi oleh kepimpinan kerajaan DAP selama 22 bulan.
"Sebab itu, Pakatan Harapan (PH) tak dapat cukup kerusi nak tubuh kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga kena dapat sokongan dari Umno dan GPS.
"Bersama dengan Umno dalam kerajaan bukan 'red line' bagi akar umbi DAP?" katanya dalam hantaran di Facebook.
Kelmarin Ong dilaporkan berkata, DAP perlu berkompromi selepas bekerjasama dengan parti berbeza dalam kerajaan perpaduan.
Namun, bekas ahli parlimen Bangi itu memberi peringatan bahawa ada batasan yang tidak boleh dilanggar kerajaan termasuklah pembebasan Najib.
"Saya rasa untuk akar umbi dan mungkin juga pemimpin DAP, 'red line' itu adalah pembebasan Bossku," katanya merujuk kepada nama gelaran Najib.
Mengulas lanjut Shahrir berkata, sikap Ong, seperti mana adiknya, pemimpin Amanah Khalid Samad yang mendahului parti dalam mengeluarkan kenyataan.
"Siapa jurucakap DAP ni? Anthony Loke bagi kepimpinannya? Ong Kian Ming bagi akar umbi DAP?
“Lebih kurang macam PAN (Amanah) juga?
"Mohamad Sabu, Sallahudin Ayub bagi pihak kepimpinan PAN tapi Khaled Samad bagi akar umbi PAN?" katanya lagi.
Pada Mei tahun lalu, Ong mengumumkan untuk tidak menawarkan diri sebagai calon DAP dan berehat daripada politik barisan hadapan.
Sementara Shahrir mengumumkan persaraan dari politik awal tahun ini dan tidak akan mempertahankan jawatan ketua Umno Bahagian Johor Bahru yang disandangnya sejak 1980-an.