Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MyEG diberi lanjutan 3 tahun konsesi untuk perkhidmatan JPJ
Diterbitkan:  May 3, 2023 4:51 PM
Dikemaskini: 4:31 PM

Kerajaan memberikan lanjutan konsesi selama tiga tahun kepada MyEG untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata konsesi itu tidak lagi bersifat eksklusif.

“Kami sudah jelaskan ia tidak eksklusif, bermakna mereka hanya salah satu penyedia, jika ada penyedia e-kerajaan lain yang ingin memohon dengan kerajaan kita boleh pertimbangkan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konsesi MyEG yang akan tamat tempoh bulan ini.

Pada Februari lalu, saham MyEG merosot selepas kerajaan mengumumkan kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan pelekat jalan fizikal pada kenderaan mereka.

Jabatan Imigresen juga mengumumkan bahawa perkhidmatan imigresen akan diuruskan sepenuhnya oleh agensi berkenaan menjelang 2025.

Ditanya mengenai perkara itu, Loke menegaskan bahawa MyEG akan terus menawarkan perkhidmatannya.

“Mereka hanyalah salah satu penyedia perkhidmatan kepada kerajaan, di mana orang ramai boleh memperbaharui lesen, cukai jalan dan sebagainya.

"Perkhidmatan itu telah dilanjutkan selama tiga tahun lagi," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS