Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemaju robohkan rumah penduduk Kg Koskan Tambahan

Buntu dan tidak tahu ke mana yang harus dituju, pun begitu sekumpulan penduduk Kampung Koskan Tambahan di Serendah, Selangor terpaksa pasrah melihat rumah yang telah didiami lebih daripada empat dekad dirobohkan.

Perobohan itu dijalankan selepas rundingan di antara pihak pemaju dan wakil penduduk - yang meminta tempoh untuk mereka dilanjutkan - gagal mencapai persetujuan.

Meskipun pemaju berjanji untuk merobohkan hanya enam daripada 18 buah rumah yang tidak berpenghuni di situ untuk hari ini, bekalan elektrik sudah diputuskan di kesemua binaan terbabit lebih awal.

Seorangnya daripada penduduk di situ, Saodah Mi’in, 84, berkata dia menetap di Kampung Koskan Tambahan berkenaan sejak lebih 40 tahun lalu dan kini tertanya-tanya nasib dia sekeluarga selepas ini.

“Katanya (pemaju) suruh keluar, tak boleh duduk sini lagi dah. Barang banyak.. mana nak letak? Nak duduk tepi jalan? Bawah tangga?

“Kita ni rakyat Malaysia, bukan pelarian. Undi pun tiap-tiap tahun. Mana nak pindah?

“Saya pun tak ada apa-apa… saya orang miskin, tak ada duit,” kata warga emas yang tinggal bersama anak dan cucunya itu.

Saodah Mi’in

Kampung Koskan Tambahan sebelum ini berdepan dengan pertikaian tanah apabila penduduk kampung di situ enggan mengosongkan kawasan tersebut.

Menurut Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, kawasan tersebut - Lot 4465 GRN 322912 - merupakan hak milik persendirian sejak 133 tahun iaitu pada 21 Jun 1890.

Pemilik asal kemudian tanah terbabit telah menjual kawasan berkenaan kepada Panca Resmi Sdn Bhd pada 1991.

Sukar tanpa elektrik

Pada 17 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah bahawasanya pihak pemaju perlu mendapat balik pemilikan bagi tapak tanah kampung berkenaan dan penduduk di situ perlu menyerahkan semula hak milikan kosong tanah tersebut kepada pemaju.

Satu writ pemilikan bagi pihak pemaju pula dikeluarkan pada 30 Mac.

Mengikut peguam penduduk kampung tersebut, rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan dan juga agar pelaksanaan perintah pengosongan itu ditangguhkan tetapi masih belum mendapat tarikh mahkamah untuk mendengar kes itu.

Nurain Zainot

Selain Soadah, Nurain Zainot, 30, merupakan salah seorang daripada lebih 40 penduduk kampung yang terpaksa berdepan dengan nasib yang sama.

Nurain yang lahir di rumah itu berkata dia akan mengikut suara majoriti walaupun mereka enggan berganjak dari kawasan itu.

“Kami disuruh pergi (pindah) ke balai raya (buat sementara waktu) tapi balai raya tu kecil,” katanya yang menjelaskan saiz premis terbabit sepatutnya sesuai untuk menempatkan suatu keluarga sahaja.

Ia juga yang terletak kira-kira lima kilometer dari situ.

Di situ, dia tinggal bersama 14 yang lain termasuk ibu bapanya yang masing-masing merupakan warga emas, serta beberapa kanak-kanak semuda lapan bulan.

Tambahnya, tindakan memutuskan bekalan elektrik di semua baki 12 rumah di situ seolah-olah menggesa penduduk kampung mengosongkan kawasan tersebut pada hari ini kerana mustahil mereka dapat hidup tanpa kemudahan tersebut.

Sementara itu Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad yang turut hadir di situ hari ini berkata pelaksanaan untuk merobohkan rumah 12 lagi keluarga di situ akan dilakukan pada 11 Mei ini.

Dalam tempoh yang berbaki itu, katanya, pihak pemaju dan kerajaan negeri akan berbincang untuk mendapatkan persetujuan berhubung tawaran dan tuntutan yang menang-menang antara pemaju dan penduduk.

“Mereka takkan pindah lagi. Tempoh akan diberi sehingga 11 hari bulan, kemudian nanti mereka akan cari rumah, cuma permintaan tu kena hantar dulu dan tengok bincang macam mana.

“Setakat ini kami dah carikan tiga rumah sebab tempoh sangat singkat tapi kalau ada masa sehari dua lagi, kami akan dapat cukup rumah,” katanya kepada pemberita.

Namun katanya meskipun petempatan baru itu nanti bukanlah pemberian secara percuma tetapi pihak kerajaan negeri akan melangkau beberapa proses untuk mempermudah urusannya.

Sebelum kerja-kerja perobohan dilakukan, Saifuddin dan pengurus projek Panca Rasmi Sdn Bhd, Ernest Yap, hadir mengadakan perbincangan bersama setiausaha badan bertindak kampung berkenaan Maszahar Hashim.

“Perobohan rumah itu hari ini mereka terus jalankan (kerja-kerja perobohan). Usaha kami sampai hari ni tapi macam itulah keadaannya.

“Cuma lain itu tindakan susulan daripada tindakan mahkamah rayuan kami belum dapat tarikh dan benda tu juga telah tidak diterima pakai oleh mahkamah tinggi,” kata Maszahar.

Ketika perbincangan tersebut, Yap memberitahu dia hadir sebagai wakil pihak pemaju dan tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan perobohan berkenaan dan terikat dengan arahan mahkamah.

Hal itu kerana katanya penduduk di situ telah diberi notis yang lebih awal untuk mengosongkan rumah mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS