ULASAN | Tiba-tiba saja isu jamuan raya di enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN) jadi berita besar mengatasi kisah pengampunan seorang banduan berprofil tinggi yang hangat diperkatakan sebelum ini.
Sama ada banduan itu diampunkan atau tidak pada tempoh terdekat masih atau beberapa bulan lagi tetap menjadi tanda tanya massa kerana realpolitik yang melanda dunia sekarang adalah serba mungkin.
Seseorang yang didapati bersalah pada suatu ketika boleh dianggap tidak bersalah pada masa lain, dan pelbagai alasan dapat disediakan.
Ada yang kata pendakwaan terpilih, atau hakim didakwa hilang wibawa, atau ruang masa yang tidak cukup untuk pembela membuktikan seseorang tidak bersalah.
Kenduri raya madani menjadi polemik awam kerana politik adalah keutamaan masa kini. Namun jangan lupa jika ada pihak yang tiba-tiba cenderung mengampunkan seseorang yang terbabit rasuah bilion ringgit kerana faktor politik.
Seseorang yang terkenal korup dan salah guna kuasa yang dibebaskan adalah sialan jika mengikut kata almarhum WS Rendra seperti dalam kumpulan puisinya, Balada Si Burung Merak.
Pramoedya Ananta Toer pula menggambarkan korupsi yang menjadi masalah moral individu kemudian bergeser sebagai sosial-politik sebagai fenomena sosial yang membudaya. Dalam istilah sekarang ia dikenali sebagai 'tersosialisasi', inheren dalam sistem.
Tiada pencapaian diharapkan
Menerusi novel Korupsi, Pramoedya berpesan agar jangan bersimpati kepada perasuah kerana mereka adalah 'anjing' yang merosakkan. Memberi pengampunan kepada 'orang jahat' adalah bersekutu dengan kejahatan itu sendiri.
Sekarang terpulang kepada anda jika ada cita-cita mahu mengampunkan perasuah dan pencuri berskala mega kerana, kesannya amat mendalam dalam sejarah peradaban bangsa manusia.
Global Corruption Barometer - Asia 2020 oleh Transparency International menunjukkan rakyat Malaysia menganggap ahli parlimen sebagai kumpulan orang yang paling banyak terlibat dengan rasuah (36 peratus).
Ia diikuti oleh anggota polis (30 peratus), penjawat awam (28 peratus) dan eksekutif perniagaan (27 peratus). Kajian itu melibatkan 1,000 responden.
Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh SPRM 2020 juga menunjukkan perkara yang sama. Kajian itu melibatkan 9,601 responden di seluruh negara.
Berdasarkan kajian berkenaan, 79.3 peratus responden menganggap rasuah di sektor politik adalah paling tinggi, diikuti sektor penguatkuasaan (74.6 peratus).
Kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun lalu merosot ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding di tangga 57 pada tahun 2020. Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, berkata markah dan pangkat CPI Malaysia telah jatuh sejak dua tahun berturut-turut dan jelas menunjukkan negara langsung tidak mencapai kemajuan yang diharapkan.
Rasuah adalah kejahatan yang disengajakan untuk mengambil hak orang lain. Kejahatan itu membiak selepas politik pascaperang dingin mendorong wujud persyarikatan nasional.
Malaysia terdedah kepada dunia apabila jenayah berskala besar seperti 1MDB memusnahkan ekonomi negara dihubungkaitkan dengan individu dan perbankan beberapa negara.
Kejahatan mereka bukan lagi rahsia umum. Memberi pengampunan kepada penyangak besar akan memberikan kesan yang besar kepada moral dan wibawa sesebuah negara.
Kumpul kekayaan peribadi
Ramai pemimpin dunia yang telah tersungkur kerana rasuah, selain berakhirnya karier politik mereka serta dihina rakyat sendiri.
Milsanya Presiden AS, Richard Nixon, yang terlibat dalam skandal Watergate. Dia dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan menggunakan taktik kotor semasa kempen pilihan raya presiden 1972.
Akibat skandal itu, timbalan presiden Spiro Agnew juga meletak jawatan pada 10 Oktober 1973. Agnew dituduh di mahkamah kerana rasuah, kesalahan mengelak cukai dan pengubahan wang haram.
Kemuncak skandal Watergate ialah apabila Nixon meletak jawatan pada 9 Ogos 1974. Dia menjadi presiden pertama yang berbuat demikian dalam sejarah negara itu dan sehingga kini tidak diampunkan oleh sejarah AS.
Perdana Menteri Jepun, Kakuei Tanaka, pernah terlibat dalam skandal Lockheed yang berkaitan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways. Tanaka ditangkap dan didakwa di mahkamah pada 16 Ogos 1976 kerana menerima suapan 500 juta Yen (AS$2.1 juta).
Pada 12 Okt 1983, Tanaka disabitkan bersalah dah dijatuhkan hukuman empat tahun penjara serta denda 500 juta Yen. Dia meninggal dunia pada 16 Dis 1993 ketika proses rayuannya belum selesai.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dikaitkan amalan kronisme dan rasuah. Sanak-saudara dan kenalan rapat Marcos dilantik mengetuai pelbagai agensi dan perbadanan negara.
Dianggarkan Marcos sempat menggelapkan wang negara antara AS$5 bilion ke AS$10 bilion.
Dia juga dipercayai mengumpulkan AS$15 bilion kekayaan peribadi, satu jumlah mengatasi lebih daripada separuh hutang negara. Rakyat Filipina bangkit memberontak sehingga terjadinya pilihan raya mengejut dan Revolusi Kuasa Rakyat (People Power Revolution) pada Feb 1986.
Akhirnya Marcos digulingkan. Dia dan isterinya, Imelda, melarikan diri ke Hawaii. Marcos meninggal dunia dalam buangan di Honolulu pada 28 Sept 1989.
Presiden Republik Taiwan, Chen Shui-bian menjadi ketua negara selama dua penggal (20 Mei 2000 hingga 20 Mei 2008). Selepas sejam meletak jawatan sebagai presiden, dia ditahan oleh pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.
Pada 13 Dis 2008, Chen dan isterinya dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan melakukan penyelewengan dana khas presiden berjumlah NT$104 juta (AS$3.12 juta); dan menerima rasuah AS$11.73 juta berkaitan perolehan tanah kerajaan di Longtan serta sebuah lagi projek pembinaan.
Han Myeong-sook adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Presiden Korea Selatan. Pada 22 Dis 2009, dia dituduh di mahkamah kerana menerima rasuah berbentuk sumbangan politik yang tidak sah berjumlah AS$760,000 daripada seorang eksekutif syarikat pembinaan.
Sumbangan tersebut dikatakan sebagai membiayai kempen pilihan raya Han untuk bertanding jawatan presiden pada 2007. Han disabitkan bersalah dan dihukuman penjara dua tahun serta denda AS$741,800.
Semua tokoh negara yang terbabit rasuah dihukum tanpa sebarang pengampunan. Mengampunkan perbuatan jahat adalah tindakan keji yang tidak bermaruah.
Jika ada yang berniat untuk memberi pengampunan kepada perasuah, harap fikirkanlah kesan daripada kejahatan yang sudah mereka lakukan.
Jasa dan sumbangan terdahulu tidak mampu menimbuskan kejahatan rasuah seseorang. Biarkan mereka 'mereput' dalam penjara kerana tinta hitam sudah tercatat dalam sejarah pembinaan bangsa.
Rasuah - seperti kata Pramoedya - adalah kejahatan perseorangan yang kesannya dirasai semua orang. Justeru jangan sesekali mengampunkan perasuah!
IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan tanpa kasta mahupun kluster.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.