Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno sasar 22 kerusi DUN Selangor
Diterbitkan:  May 2, 2023 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Sebagai sebahagian daripada sekutu pakatan pilihan raya Pakatan Harapan-BN, Umno mahu parti itu diperuntukkan 22 kerusi pada pilihan raya dewan undangan Selangor akan datang.

Perkara itu didedahkan Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin yang memberitahu Utusan Malaysia bahawa cadangan Umno adalah untuk mengketengahkan sekurang-kurangnya seorang calon DUN di setiap 22 kerusi Parlimen di negeri itu.

“Itu antara elemen atau cadangan dibawa oleh Umno ke dalam rundingan kedua-dua pihak. 

“Selain itu Umno juga mahu mengekalkan lima kerusi dimenangi dalam pilihan raya sebelum ini kekal ditandingi BN. Namun itu pun masih belum muktamad,” katanya.

Mohd Imran Tamrin

Selain itu,  Mohd Imran, berkata, Umno juga menuntut kebenaran untuk hak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang penyandangnya telah berpaling tadah - Batang Kali, Jeram, Selat Klang, Dengkil, Gombak Setia dan Bukit Antarabangsa.

Daripada enam kerusi berkenaan, empat dimenangi oleh Bersatu semasa pilihan raya 2018 manakala baki, dua lagi dimenangi oleh calon PKR yang kemudiannya berpaling tadah kepada Bersatu. Pada 2020, Bersatu membelot daripada Pakatan Harapan untuk membentuk gabungan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, Mohd Imran berkata Umno Selangor setakat ini belum menerima sebarang maklum balas mengenai cadangan daripada jawatankuasa parti itu yang sedang merundingkan pakatan tersebut.

“Kalau ada, jawatankuasa pelaksanaan pasti akan dimaklum untuk memulakan kerja-kerja perancangan dan pelaksanaan (strategi untuk) PRN,” katanya.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi. Pada pilihan raya 2018, PH memenangi 51 kerusi manakala BN memenangi empat dan PAS satu.

Pada pertengahan April lalu, Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari berkata dia menyasarkan untuk memuktamadkan sekurang-kurangnya 80 peratus pembahagian kerusi menjelang awal Mei.

Bagaimanapun, dia mengingatkan bahawa keputusan muktamad mengenai agihan kerusi akan diputuskan oleh pucuk pimpinan gabungan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS