Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan BN mencabar dua keputusan yang memihak kepada PN dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Panel tiga hakim yang bersidang hari ini sebulat suara membenarkan rayuan oleh calon BN ntuk kerusi Masjid Tanah di Melaka, dan seorang pengundi di Kemaman, Terengganu.

Panel itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat. Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Hasnah Mohammed Hashim dan Nordin Hassan.

Dalam permohonan yang dikemukakan itu calon BN membangkitkan isu rasuah yang didakwa terlibat dalam PRU di dua kawasan berkenaan.

Ketika membacakan keputusan ringkas hari ini, Tengku Maimun berkata alasan yang dikemukakan perayu bagi dua kerusi berkenaan adalah mencukupi.

Justeru, panel terbabit mengarahkan kedua-dua petisyen berkenaan dikembalikan semula ke mahkamah pilihan raya dan dibicarakan di hadapan hakim yang baru.

Untuk rekod kerusi Masjid Tanah dimenangi Mas Ermieyati Samsudin yang mengalahkan tiga calon lain dengan kelebihan 4,411 undi, manakala Che Alias Hamid mengekalkan kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.

Mas Ermieyati Samsudin

Mas Ermieyati merupakan calon dari Bersatu, dan Che Alias dari PAS.

Dengan ketetapan dibuat Mahkamah Persekutuan hari ini, isu kesahihan keputusan PRU ke-15 bagi kerusi Masjid Tanah dan Kemaman akan dikembalikan kepada mahkamah pilihan raya untuk perbicaraan penuh.

Pada 7 Feb, mahkamah pilihan raya di Melaka membenarkan bantahan daripada Mas Ermieyati untuk membatalkan petisyen dikemukakan calon BN di situ, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Enam hari kemudian, mahkamah pilihan raya di Terengganu pula membenarkan bantahan awal Che Alias untuk membatalkan petisyen oleh seorang pengundi, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Sebelum ini petisyen tersebut didengar oleh hakim Anselm Charles Fernandis (untuk Masjid Tanah) dan Mohamad Abazafree Mohd Abbas (Kemaman).

Kini hakim terbabit tidak lagi akan mengendalikan petisyen tersebut atas merit undang-undang.

Petisyen pilihan raya Masjid Tanah dan Kemaman akan dikemukakan untuk pengurusan kes di mahkamah pilihan raya Melaka dan Terengganu masing-masing pada 5 dan 8 Mei.

Terdahulu, semasa mendengar rayuan hari ini, peguam pempetisyen, Mohd Hafarizam Harun antara lain berhujah petisyen pilihan raya itu tidak cacat dan wajar didengar atas meritnya.

Bagaimanapun, peguam calon PN Yusfarizal Yussoff dan Wan Rohimi Wan Daud berhujah rayuan itu sepatutnya ditolak kerana petisyen pilihan raya tidak mempunyai butiran mengenai dakwaan rasuah.

BN juga mempunyai dua petisyen pilihan raya yang sedang berjalan ketika ini iaitu untuk kerusi parlimen Kuala Terengganu dan Marang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS