ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pertikaian Kg Koskan Tambahan hal pemilik tanah dengan penduduk’
Diterbitkan:  May 2, 2023 8:42 AM
Dikemaskini: 12:42 AM

Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) enggan campur tangan dalam pertikaian antara penduduk Kampung Koskan Tambahan dengan pemilik tanah.

Ini di sebalik rayuan mereka - yang telah tinggal di kampung di Serendah selama lebih 40 tahun itu - supaya Menteri Besar Amirudin Shari campur tangan bagi menangguhkan pelaksanaan notis pengosongan di kawasan berkenaan - yang dijadualkan berlangsung hari ini, sementara menunggu penyelesaian dengan pemilik tanah.

“PDTHS ingin menegaskan bahawa pertikaian ini adalah melibatkan pemilik tanah dan pihak penduduk. 

“PDTHS berharap agar pertikaian antara kedua-dua pihak dapat diselesaikan dengan baik,” kata Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Hanafe, tapak kediaman tersebut adalah tanah hakmilik persendirian iaitu Lot 4465 GRN 322912 yang telah diberi milik sejak 133 tahun yang lalu iaitu pada 21 Jun 1890 lalu.

ADS

Pemilik asal kemudiannya telah menjual tanah ini kepada Panca Resmi Sdn Bhd pada tahun 1991 - yang kekal sebagai pemilik sah sehingga kini.

Mengenai permohonan tanah oleh penduduk kampung, Hanafe berkata rumah mereka dibina di atas tanah hakmilik Lot 4465 GRN 322912, tetapi permohonan yang dikemukakan adalah di atas rizab Sungai Serendah yang juga merupakan kawasan dataran banjir. 

“Oleh itu, PDTHS tidak dapat mempertimbangkan permohonan di atas rizab sungai tersebut,” katanya.

Hanafe juga berkata, dakwaan penduduk bahawa kerajaan negeri Selangor telah memberi pemilikan tanah rizab sungai kepada Panca Resmi sebagai tidak benar. 

“Tanah rizab sungai yang dimaksudkan dan tanah milik Lot 4465 GRN 322912 adalah merupakan dua tapak yang berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut, Hanafe berkata bahawa Panca Resmi telah pun berhubungan dengan penduduk kampung dan menawarkan pakej penyelesaian, yang sebahagian mereka telah menerimanya dan ada yang lain pula menolak.

Lanjutan itu, katanya, pemilik tanah kemudian memohon mendapatkan perintah mahkamah untuk pengosongan tanah milik mereka.

Pada 17 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah bahawasanya pihak pemaju perlu mendapat balik pemilikan bagi tapak tanah kampung dan penduduk-penduduk kampung perlu menyerahkan semula hak milikan kosong tanah tersebut kepada pemaju.

Satu writ pemilikan bagi pihak pemaju pula dikeluarkan pada 30 Mac.

Mengikut peguam penduduk kampung tersebut, rayuan telah dibuat di Mahkamah Rayuan dan juga rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah pengosongan itu tetapi masih belum mendapat tarikh mahkamah untuk mendengar kes itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS