Bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar menyuarakan sokongan kepada PN dan berikrar untuk menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat gabungan itu.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Noh berkata dia memutuskan untuk menyokong PN setelah perjuangannya hampir 30 tahun dipersiakan Umno dan BN.
“Siapa tak sayang Umno, darah saya Umno tapi saya tak boleh terima, benci saya, marah saya tapi jangan hancurkan Umno.
“Saya tak sanggup hancurkan Umno di Tanjong Karang, tapi kalau sudah pimpinan Umno di Malaysia nak hancurkan Umno Tanjong Karang, ayuh sama-sama kita hancurkan, itu pendirian saya," katanya.
Noh mendakwa Umno Tanjong Karang yang dipimpinnya sejak sekian lama dipengaruhi "orang luar" namun tidak mengulasnya dengan lebih lanjut.
PRU15 menyaksikan BN, yang diwakili Ketua Wanita Umno Bahagian Habibah Abdul Ghani, tewas di kawasan Parlimen itu buat pertama kali dalam sejarah. hanya 35.26 peratus daripada keseluruhan undi dibuang di Tanjong Karang.
Ketika itu, Noh digugurkan daripada mempertahankan kerusi itu yang telah dipegangnya selama enam penggal.
Pada Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk memecat Noh kerana didakwa melanggar disiplin ketika PRU tersebut.