Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah tak layak jadi sahabat perjuangan, kata Puad
Diterbitkan:  Apr 30, 2023 11:35 AM
Dikemaskini: 4:52 AM

Amanah terus menerima kecaman Umno, kali ini daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi susulan gesaannya agar permohonan pengampunan Najib Razak ditolak.

Menurut Puad, tindakan Amanah itu menunjukkan parti itu tidak layak menjadi "sahabat perjuangan" dan tidak memberi jaminan kerajaan persekutuan boleh terus bertahan.

"Amanah hanya layak jadi kawan politik bukan sahabat perjuangan.

"Sebab itu memang susah bersahabat dengan Amanah, hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan kerajaan perpaduan boleh kekal. Kawan makan kawan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 28 April lalu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dalam kenyataan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menolak permohonan pengampunan Najib dalam kes rasuah SRC International.

Sehari kemudian, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan "tidak sepatutnya" berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.

"Jadi ini adalah budi bicara baginda dan saya tidak mengalukan-alukan mana-mana pendapat daripada mana-mana pertubuhan apatah lagi parti-parti politik yang bersahabat dengan kita yang memberikan komen yang tidak sepatutnya," katanya seperti dipertik Bernama.

Umno Kelantan pula berkata pihaknya menimbang untuk tidak lagi bekerjasama dengan Amanah negeri itu jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya.

Puad berkata lagi, Umno membuat permohonan pengampunan untuk Najib secara tertib.

"(Timbalan presiden Amanah) Salahuddin Ayub mahu penyokong Najib terbuka dengan keputusan Lembaga Pengampunan. Umno tidak ada masalah pun dan akur proses perundangan

"Masalahnya Amanah kerana mendesak Agong menolak pengampunan Najib. Umno hanya menyokong sahaja," katanya.

Katanya lagi, tindakan Amanah itu juga "tidak tertib" dan mempersoalkan kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS