Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno K'tan sedia putus hubungan dengan Amanah jika Khalid tak mohon maaf
Diterbitkan:  Apr 29, 2023 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Umno Kelantan pertimbang untuk memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad tidak memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan mengenai permohonan pengampunan diraja dibuat bekas perdana menteri, Najib Razak.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, berkata Khalid perlu memohon maaf kepada Umno susulan kenyataannya merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan itu.

"Umno Kelantan mendesak Khalid selaku pengarah Komunikasi Amanah yang merangkap pengerusi Amanah Kelantan untuk memohon maaf secara terbuka kepada Umno lanjutan daripada kenyataan beliau bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas perdana menteri.

"Untuk rekod, rayuan pengampunan diraja yang dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 27 April lalu, Khalid yang mewakili Amanah dilaporkan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib daripada diberi pengampunan sekali gus dibebaskan dari penjara.

Khalid Samad

Khalid berkata, Amanah berpendirian, hanya dengan cara itu saja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

“Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah Negara (Amanah) ingin merayu kepada YDPA (Yang di-Pertuan Agong) dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata kenyataan Khalid jelas menyinggung perasaan ahli Umno secara keseluruhannya.

Katanya, Umno Kelantan sedia memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan berkenaan.

"Sehubungan dengan itu, Umno Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di Kelantan.

"Sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyinggung perasaan ahli Umno keseluruhannya," katanya lagi.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk parti politik yang ‘bersahabat’ dengan BN untuk tidak membuat kenyataan tidak wajar mengenai pengampunan Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS