Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Putin ada waran tangkap, boleh dicekup jika lawat Afrika Selatan'

GLOBAL | Presiden Rusia Vladimir Putin yang dijadual melawat Afrika Selatan pada Ogos mungkin akan ditahan jika beliau menjejakkan kaki di wilayah Cape Western, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan pemimpin wilayah itu.

"Putin secara konsisten dan ganas menghakis kebebasan rakyat Ukraine dan terhadap mereka di negaranya sendiri yang berani mengambil pendirian menentang tindakan kejamnya," kata perdana menteri wilayah itu Alan Winde dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bulan lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Putin yang dijangka menghadiri persidangan BRICS di wilayah Western Cape.

BRICS ialah negara blok ekonomi yang merangkumi Rusia, Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

Awal bulan ini, Presiden Cyril Ramaphosa (gambar, atas) berkata parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah memutuskan untuk menarik diri daripada ICC.

Namun, pejabatnya serta-merta menarik balik kenyataan itu dengan mengatakan ia merupakan kesilapan komunikasi dan Afrika Selatan akan kekal sebagai penandatangan Statut Rom.

"Walaupun ada waran tangkap, kerajaan nampaknya mahu meneruskan dan menjadi tuan rumah kepada Presiden Putin pada sidang kemuncak BRICS di Afrika Selatan yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

"Ini tidak boleh diterima dan menyedihkan,” kata Winde.

Beliau berkata jika Putin datang ke Western Cape, pegawai Pelan Penguatkuasaan Undang-undang (LEAP) yang dibiayai kerajaan Western Cape sendiri, akan menahannya.

"Jika Perkhidmatan Polis Afrika Selatan tidak diarahkan untuk bertindak, kami akan melakukannya," katanya.

Winde berkata wilayahnya, termasuk bandar pelancongan Cape Town, bukan sahaja akan memperjuangkan hak asasi dan kebebasan rakyat Afrika Selatan, bahkan bersedia untuk menunjukkan solidariti dengan Ukraine dengan mengambil pendirian menentang kekerasan Rusia ke atas orang awamnya.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS