Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Kehadiran Shahidan di Selangor tak akan beri kesan

Bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim baru-baru ini memberi bayangan akan melibatkan diri untuk membantu Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di Selangor.

Penganalisis bagaimanapun berpandangan kehadiran bekas pemimpin Umno berkenaan tidak akan memberi kesan di negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu.

Rata-rata penganalisis politik berpandangan sentimen pengundi di Selangor berbeza berbanding negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis juga berpandangan rekod pentadbiran PH sejak mengambil alih Selangor pada 2008 menyukarkan lagi untuk Shahidan membantu PN menawan negeri itu.

Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Awang Azman Awang Pawi dan Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia melihat kerjasama antara PH dan BN di peringkat nasional dapat mengukuhkan sokongan pengundi di negeri itu.

Awang Azman Awang Pawi

“Politik PN di Selangor masih banyak bergantung kepada ahli dan jentera PAS, terutama di kawasan majoriti Melayu. Namun pengaruh PAS tak mampu memberikan ancaman besar kepada Selangor, lebih-lebih lagi sudah ada kerjasama PH dan BN,” kata Awang Azman.

Azizuddin pula menjangkakan modal berkempen yang bakal dibawa oleh PN, yang banyak memainkan isu sensitif tidak cukup efektif untuk pengundi di Selangor.

“PN memang cuba bawa calon ‘payung terjun’ dari luar untuk menguatkan PN di Selangor. Mereka juga banyak memainkan isu sensitif untuk menarik undi.

“Namun, pengundi Selangor sebenarnya lebih rasional dan telah merasai nikmat kebaikan pemerintah PH di Selangor. Dengan kerajaan perpaduan berada di pusat, saya rasa peluang PH-BN untuk menang lebih baik di Selangor,” katanya.

Azizuddin Mohd Sani

Azmin, Zuraida pun ditolak

Pada 27 April, Shahidan dilaporkan memberi bayangan bahawa dia mungkin dilibatkan dalam perencanaan PN dalam PRN di Selangor tidak lama lagi, memandangkan dia sudah mula turun ke Semenyih beberapa kali sejak akhir-akhir ini.

Tambah Awang Azman, meskipun percaturan PN dengan menggunakan bekas pemimpin Umno yang berpengaruh dianggap sebagai cubaan terbaik untuk merampas Selangor, PN diingatkan bahawa langkah itu akan mengguris hati pemimpin akar umbi PN negeri yang telah berkhidmat di situ sebelum ini.

“Pengundi Selangor tak sama sentimen seperti di Kelantan.

“Jika Noh Omar, KJ (khairy Jamaluddin) dan Shahidan diletak di Selangor, ia akan mengguris hati pemimpin akar umbi PN yang mempunyai pemimpin tempatan mereka sendiri untuk bertanding dalam PRN nanti.

“Ia juga seolah-olah PN tidak mempunyai calon pemimpin mereka sendiri,” katanya yang memberi beberapa contoh nama bekas pemimpin kuat Umno yang dipecat parti selepas PRU15.

Memberi contoh nasib Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini merupakan pemimpin politik yang berpengaruh di negeri itu, Awang Azman menjangkakan sekiranya Shahidan gagal memberikan kemenangan buat PN, nama mereka akan hilang lebih awal dalam radar politik sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

PH harus sentiasa bersiap sedia

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia Kartini Aboo Talib pula berpandangan bahawa PH harus sentiasa bersedia walaupun Selangor merupakan kubu kuat mereka.

Ini kerana, katanya, pengaruh “gelombang hijau” masih kuat dan terdapat pendapat yang merasakan PH tidak membawa dasar baru tetapi hanya meneruskan dasar yang sedia ada.

Kartini Aboo Talib

“Shahidan hanya bantu berkempen di Selangor. Dia lebih berpengaruh di Indera Kayangan (Perlis), tak perlulah dia ‘bersilat’ di Selangor kerana Selangor adalah kubu kuat PH,” katanya.

Tambah Kartini, strategi PN juga lebih menyasarkan untuk menarik undi orang Melayu luar bandar.

“PN telah menerima sokongan kuat dari orang Melayu terutama yang tinggal di luar bandar dan kawasan bandar yang mempunyai populasi demografi Melayu melebihi 45 peratus, melihat kepada keputusan PRU15 baru-baru ini.

“Strategi PN akan lebih tertumpu bagi kawasan bandar dengan populasi Melayu hampir sama peratus dengan bukan Melayu,” katanya.

PH mentadbir Selangor sejak 2008 sewaktu gabungan Pakatan Rakyat yang turut terdiri daripada PAS. PRN yang dijangka akan berlangsung pada Jun melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah, di mana ia tiga daripadanya di bawah pimpinan PN dan tiga lagi di bawah PH.

Kedua-dua gabungan itu dilihat sedang cuba mengatur strategi untuk mengambil alih negeri pihak lawan, terutamanya kubu kuat PH, Selangor dan kubu kuat PN di Kelantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS