Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa dia tidak mempertahankan mata pencarian nelayan berikutan kelulusan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Tegas Anwar, dia telah menimbulkan kebimbangan mengenai projek penambakan itu yang mendapat banyak kritikan, terutama mengenai mata pencarian nelayan dan penduduk di kawasan itu.

"Biarkan proses ini berjalan dan kalau mereka mahu kemukakan bantahan, kita akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan

“Benarkan proses projek berjalan lancar," kata Anwar kepada pemberita hari ini.

Dia berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan di Sungai Buloh, Kuala Lumpur.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan and Ketua Bahagian PKR Ampang Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.

Pada Rabu, ketua menteri Pulau Pinang Chow Kwon Yeow mengumumkan bahawa laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek PSI telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Anwar menambah bahawa pada dasarnya, PSI telah mendapat kelulusan EIA, yang datang dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi

PSI, sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR), adalah projek membangunkan tiga pulau buatan, dengan keluasan kira-kira 1,700 hektar, di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan NGO alam sekitar di negeri itu kerana didakwa menjejaskan ekosistem marin.

Terdahulu, Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) menyatakan kekecewaan mereka selepas gagal bertemu Anwar bagi membincangkan projek kontroversi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS