Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Rayuan Lynas selesai, keputusan pada pertengahan Mei

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, rayuan oleh Lynas terhadap syarat lesen oleh kerajaan yang akan membatalkan lesen beroperasi syarikat itu di negara ini telah selesai.

"Rayuan itu berlangsung pagi ini dan keputusan akan dimaklumkan pada pertengahan Mei," katanya kepada Malaysiakini.

Chang berkata, pendengaran rayuan syarikat perlombongan nadir bumi Lynas itu diadakan dari 9 pagi hingga 11.45 pagi tadi.

Chang Lih Kang

“Ini bukan perbicaraan mahkamah jadi tiada saksi dipanggil.

“Ia hanya peluang untuk mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

"Kami mendengar hujahan peguam mereka Cecil Abraham, kemudian pengurus besar mereka, Prof Ismail Bahari bercakap mengenai bahagian teknikal," kata Chang.

Ditanya mengenai laporan Straits Times yang memetik Lynas sebagai meminta Chang dikecualikan daripada pendengaran rayuan berkenaan, dia menolaknya atas alasan perkara itu tidak timbul.

“Ini adalah pendengaran rayuan berdasarkan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

“Mengikut Seksyen 32 Akta, menteri mesti membuat keputusan,” kata Chang.

Menteri itu memberitahu Malaysiakini dia tidak berada dalam kedudukan untuk memberikan butiran lanjut mengenai pendengaran pada ketika ini, kerana memerlukan masa untuk meneliti penghujahan.

AELB telah bersetuju untuk memperbaharui lesen operasi Lynas, tetapi hanya di bawah syarat-syarat tertentu.

Antara syarat itu adalah untuk Lynas menempatkan semula kemudahan retak dan larut lesap di Gebeng, Kuantan - yang menghasilkan sisa Penjernihan Lesap Air (WLP) radioaktif - keluar dari Malaysia sebelum Julai 2023.

Syarat lain yang mesti dipatuhi oleh Lynas termasuk memulakan proses membangunkan kemudahan pelupusan kekal, mengemukakan pelan pembangunan kerja dan melaporkan statusnya, memastikan loji retak dan larut lesap mereka di luar Malaysia beroperasi menjelang Julai 2023 dan mengekalkan deposit kewangan untuk pematuhan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS