Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram tak adil pada Anwar, kata MP PKR
Diterbitkan:  Apr 28, 2023 3:39 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

NGO hak asasi manusia Suaram tidak berlaku adil dalam kenyataannya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Ini selepas Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri paling teruk jika gagal menunaikan janji reformasi yang telah dibuat PH selama ini.

"Komen pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy itu tidak adil dan tidak memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada banyak pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan setakat ini," kata ahli parlimen PKR itu pada kenyataan hari ini.

Kata Sim, tindakan kerajaan perpaduan memansuhkan hukuman mati mandatori telah diiktiraf oleh banyak organisasi antarabangsa seperti Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pemerhati kak asasi manusia dan pertubuhan Amnesty International sebagai langkah besar ke hadapan untuk hak asasi manusia di Malaysia.

Ahli Parlimen PKR Sim Tze Tzin.

"Perdana menteri sendiri melaksanakan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di parlimen.

"Ini adalah reformasi yang diambil oleh perdana menteri sendiri untuk meningkatkan peranan parlimen sebagai semak dan imbang.

"Ironinya, pemimpin pembangkang yang gagal menghadiri semua PMQ. Sudahkah Suaram mengkritik pemimpin pembangkang," soalnya.

Sim juga berkata parlimen telah menubuhkan 10 jawatankuasa pilihan khas untuk menyelia semua kementerian bagi memastikan akauntabiliti yang lebih besar dan tadbir urus yang lebih baik.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy .

Sebelum ini, Sevan menyoal tekad politik kerajaan untuk mengubah undang-undang zalim, terutamanya penahanan tanpa bicara di negara ini.

Sevan berkata Suaram meletakkan harapan yang tinggi kepada Anwar, yang telah menjadi mangsa kezaliman polis dan mangsa penahanan tanpa bicara, untuk melakukan sesuatu sekarang ketia dia mempunyai kuasa.

“Jadi, sebagai bekas mangsa, (dan dikenali sebagai) Bapa Reformasi, harapan itu (tinggi).

“... apa yang kita nak lihat antara menteri sebelum ini dan perdana menteri sekarang, saya nak kata Anwar adalah pilihan yang lebih baik berbanding PM sebelum ini, kerana agenda reformasi dan latar belakangnya.

"Tetapi dengan latar belakang itu, jika dia gagal melaksanakannya, dia akan menjadi perdana menteri yang paling teruk. Kerana perdana menteri sebelum ini tidak banyak memberikan janji dari segi reformasi dan semua itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS