Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Putrajaya hanya terlibat anjur rumah terbuka di Kedah, K'tan, T'ganu
Diterbitkan:  Apr 28, 2023 3:08 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Kerajaan Persekutuan hanya terlibat dalam penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama YAB Perdana Menteri 2023 di tiga negeri sahaja iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, demikian menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran majlis rumah terbuka di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pula dianjurkan oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Selaras dengan konsep Malaysia Madani, penganjuran kali ini adalah dengan kerjasama strategik kerajaan negeri selain kementerian peneraju yang turut dilantik bagi membantu pelaksanaan majlis," menurut kenyataan itu.

Menurut JPM, Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama YAB Perdana Menteri 2023 itu memberi ruang dan peluang kepada Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri menyantuni rakyat yang sebelum ini tidak pernah berpeluang meraikan sambutan Aidilfitri bersama pemimpin negara kerana kesukaran untuk berkunjung ke Seri Perdana.

JPM berkata rumah terbuka di tiga negeri anjuran kerajaan Persekutuan menyasarkan jumlah keseluruhan pengunjung sekitar 55,000 orang.

"Hanya di Kedah berstatus nasional iaitu 25,000 orang pengunjung manakala di Kelantan dan Terengganu masing-masing disasarkan 15,000 orang pengunjung," katanya.

Menurut JPM, jumlah penganjuran di Seri Perdana sebelum ini boleh mencecah sehingga 100,000 pengunjung.

JPM berkata penganjuran rumah terbuka itu membolehkan perbelanjaan dilakukan secara berkesan melalui penganjuran secara bersasar, perkongsian sumber, tenaga kerja dan kemahiran melalui kerjasama strategik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta majlis yang turut diadakan secara bersekali.

"Kaedah penganjuran bersama ini juga diyakini dapat mengukuhkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri," menurut JPM.

Orang ramai dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama YAB Perdana Menteri yang bermula di Kedah esok (29 April 2023/Sabtu), bertempat di Hotel Raia, mulai 10 pagi hingga 2 petang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS